CCTV ‘mata-mata’ demi keselamatan pelajar SK Seri Aman

AIR ITAM – Di samping bertindak untuk mengawal kejadian kemalangan, kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Aman di sini juga bakal bertindak sebagai ‘matamata’ sekiranya berlaku kejadian jenayah.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid berkata, pemasangan satu unit CCTV di lokasi berkaitan adalah ekoran maklum balas pihak sekolah sejak tahun lalu.

“Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Aman, Zamberi Hamzah pernah menyuarakan akan keperluan ini dan MBPP melihat inisiatif tersebut merupakan sesuatu yang positif terutamanya membabitkan faktor keselamatan kanak-kanak sekolah di sini.

“Ini termasuk lokasi tersebut yang dipercayai sering berlaku kemalangan,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Jurutera Jabatan Kejuruteraan MBPP, Tuti Azmalia Azai.

Dalam pada itu, Zamberi ketika ditemui memberitahu, pemasangan CCTV di kawasan tersebut adalah sangat penting terutama dalam mengenalpasti situasi trafik, memantau kenderaan, serta merekodkan kejadian yang berlaku di kawasan sekitar.

“Sebelum ini, terdapat beberapa kes kemalangan termasuk kemalangan maut melibatkan murid sekolah di sini.

“Lebih malang lagi, ada antara mangsa yang gagal membuat tuntutan insurans akibat kekurangan bukti dan sebagainya.

“Jadi saya harap, dengan pemasangan CCTV ini, ia dapat menyelesaikan beberapa masalah berhubung rekod, bukti dan sebagainya,” jelas beliau.

Serentak itu, Zamberi turut berterima kasih dengan sumbangan sebuah papan tanda elektronik (LED) yang diletakkan di hadapan sekolah bertujuan menyampaikan maklumat serta aktiviti sekolah oleh Ramkarpal.

Difahamkan pemasangan CCTV tersebut melibatkan kos berjumlah RM85,800 meliputi tiang, CCTV, pemasangan penghubung ke bilik pemantauan dan bayaran kontrak penyelenggaraan selama lima tahun.