MP anggap PPSN main peranan penting

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU MAUNG – SRS Consortium yang dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan kerja-kerja penambakan di bahagian selatan pulau baru-baru ini menyumbang pukat serta dua komputer riba kepada komuniti nelayan di Gertak Sanggul.

Ketika berucap, Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang ditubuhkan oleh PDP memainkan peranan penting serta kini menerima permohonan pekerjaan daripada 279 penduduk tempatan untuk projek pemajuan di sini.

“Justeru, saya berpendapat bahawa penubuhan PPSN ini menemui objektifnya dalam memberi peluang pekerjaan di samping menyampaikan maklumat berhubung projek PIP kepada umum,” katanya sebelum menyerahkan sumbangan dua komputer riba dan pukat pada majlis ringkas dekat PPSN Permatang Damar Laut di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A. Kumaresan.

Pada majlis sama, Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium, Azmi Mohamad memberitahu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) Gertak Sanggul, Leong Kein Cheong ada memohon dua komputer riba untuk kegunaan kelas komputer anak-anak nelayan tempatan.

Jelasnya, sumbangan pukat pula adalah susulan aduan kerosakan pukat daripada wakil Unit Nelayan Sungai Batu, Azizan Yusoff, 46.

“SRS Consortium bersetuju membantu komuniti nelayan dan menyumbangkan dua unit komputer riba untuk kegunaan anak-anak nelayan di sini.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) SRS Consortium,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Azmi memberitahu bahawa pihaknya kini giat mengenalpasti lokasi sesuai untuk membina tukun tiruan, berdasarkan syor serta kehendak nelayan setempat demi menambah lagi populasi habitat laut.

Hubungi SRS Consortium di talian 04 – 611 6199 atau berkunjung sendiri ke PPSN dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang untuk mendapatkan info lanjut mengenai PIP atau peluang pekerjaan di sini.