Cepatkan Projek RTB Sungai Pinang Fasa 3, gesa Exco

Admin

DATOK KERAMAT – Susulan kejadian banjir di beberapa buah negeri kini, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menggesa supaya Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dipercepatkan.

Jagdeep pada sidang media yang diadakan di tapak projek berkaitan dekat sini memaklumkan bahawa Fasa 3 bagi projek RTB tersebut akan dijalankan menjelang bulan Jun 2022 nanti.

JAGDEEP semasa membuat lawatan ke tapak projek berkenaan.

“Pelaksanaan Projek RTB Sungai Pinang Fasa 3 ini bakal memberi manfaat terhadap kira-kira 150,000 penduduk di kawasan perlindungan banjir iaitu seluas 300 hektar…pelaksanaannya menggunakan peruntukan RM150 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

“Di samping itu, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga telah memperuntukkan sebanyak RM81 juta bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini dan difahamkan sebanyak 82 projek lagi masih berterusan,” ujar Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

Dalam sidang media sama, Jagdeep memaklumkan bahawa spesifikasi kerja-kerja fizikal bakal ditender tahun ini.

“Pelaksanaan kerja-kerja fizikal dirancang bermula pada bulan Jun 2022 dan dijangka siap menjelang bulan Jun 2026 jika tiada halangan.

“Kini, perunding sedang pada fasa terakhir untuk menyiapkan reka bentuk terperinci manakala pihak juruukur Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam proses membuat penandaan rizab di sepanjang Sungai Pinang bermula dari jambatan Jalan Patani sehingga ke jambatan Jalan Air Itam/Dato Keramat,” jelasnya.

DARI kiri, Ong, Rayer, Jagdeep & Rajendran.

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Setiausaha MBPP, A. Rajendran antara yang turut hadir pada sesi lawatan tersebut pagi ini.

Sementara itu, Rajendran memberitahu bahawa Projek RTB Sungai Pinang berjalan mengikut perancangan dan pihaknya tidak akan berlengah untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: ADUN