Chang Yeow dicabar tunjuk bukti – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYAKetua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang didakwa mempunyai kepentingan peribadi dalam penjualan 0.45 hektar tanah di Jalan Zainal Abidin, George Town mencabar pemimpin Barisan Nasional negeri mengemukakan bukti berhubung tuduhan yang ditujukan ke atas dirinya.

Malah, beliau turut mendesak pembangkang mengemukakan bukti berhubung tuduhan serupa yang dilemparkan kepada empat Exco Kerajaan Negeri, iaitu Chow Kon Yeow,  Phee Boon Poh, Law Heng Kiang dan Wong Hon Wai serta Ng Wei Aik (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang).

Chang Yeow menuduh Guan Eng mempunyai “kepentingan peribadi” dalam penjualan tanah kontroversi tersebut antara lain dengan memanipulasi isu rumah yang didiami oleh keluarga Ketua Menteri itu sekarang.

“Nyata mereka sebelum ini telahpun gagal membuktikan bahawa saya memiliki rumah itu di depan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mengapa masih melakukan tindakan terdesak yang hampir sama.

“Sehingga sekarang, saya masih mencabar Teng Chang Yeow (Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang) mengemukakan bukti melainkan dia benar-benar terdesak untuk mengemukakan bukti atas fitnah yang dia sendiri lakukan,” ujar beliau selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kayuhan Amal 2012 di perkarangan pasaraya Sunway Carnival di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pemilik rumah sewa berkenaan merupakan ahli parti Gerakan yang merupakan salah satu komponen Barisan Nasional.

“Saya hanya sewa rumah itu. Saya tidak kenal siapakah ‘kawan’ yang dimaksudkan oleh mereka kerana proses penjualan tanah itu dilakukan secara tender terbuka.

“Secara logiknya, Gerakan lebih wajar dilihat mempunyai kepentingan peribadi kerana puan rumah sewa itu adalah Gerakan,” seloroh beliau.

Terdahulu, Chang Yeow serta beberapa pemimpin muda pembangkang lain menggunakan dalih Guan Eng menyewa sebuah rumah banglo di Jalan Pinhorn milik seorang perempuan yang digelar sebagai ‘Cik P’ untuk menuduh pemimpin utama Kerajaan Negeri itu mempunyai kepentingan peribadi dalam penjualan tanah kontroversi itu.

Dalih lain yang digunakan pembangkang antaranya ‘Cik P’ adalah rakan kongsi kepada seorang individu bergelar Datuk dari Sabah yang merupakan pemegang saham Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC).

‘Cik P’, menurut pembangkang lagi, telah membeli banglo itu dengan harga RM2.5 juta dan membelanjakan kirakira RM1 juta untuk pengubahsuaian dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Atas dalih itu, Guan Eng kemudiannya cuba digambarkan mempunyai kepentingan peribadi dengan KLIDC pula ekoran beliau sekeluarga dikatakan berpindah ke rumah banglo tersebut pada 2 Julai 2009, iaitu pasca pilihan raya umum.

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam acara Kayuhan Amal 2012 di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam acara Kayuhan Amal 2012 di sini baru-baru ini.