Choo Kiang Speaker DUN Pulau Pinang baru

Admin

Oleh : YAP LEE YING

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Law Choo Kiang bakal dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru menggantikan Datuk Abdul Halim Hussain.

LAW Choo Kiang.
LAW Choo Kiang.

Kenyataan tersebut dinyata dan disahkan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Katanya, pelantikan tersebut bakal mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya, DUN Pulau Pinang bakal diterajui oleh Speaker bukan berketurunan Melayu.

“Law Choo Kiang (Choo Kiang) bakal menjadi Speaker bukan berketurunan Melayu pertama di Pulau Pinang.

“Manakala, ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin bakal dilantik sebagai Timbalannya (Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang),” katanya ketika ditemui pada Upacara Mengangkat Sumpah Terima Jawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

DR. Norlela Ariffin.
DR. Norlela Ariffin.

Mansor berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengguguran Choo Kiang yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri dalam senarai Exco Kerajaan Negeri yang baru.

Sementara itu, Choo Kiang ketika ditemui pada majlis sama menyatakan bahawa beliau dimaklumkan namanya digugurkan dalam senarai Exco Kerajaan Negeri pada pukul 11 malam semalam.

“Tahniah kepada semua barisan Exco yang baru.

“Kemungkinan ada tanggungjawab lain yang akan diamanahkan kepada saya nanti,” katanya sambil menyatakan bahawa beliau akan membuat kenyataan dalam tempoh sehari dua sekiranya perlu.