GEORGE TOWN — Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, Goh Choon Aik merakamkan penghargaan kepada Presiden Parti Keadikan Rakyat (PKT) merangkap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow atas kepercayaan melantik beliau menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri.
Choon Aik yang diberi tanggungjawab memegang portfolio Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, amanah tersebut merupakan satu tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri Pulau Pinang.
Menurut beliau, dalam aspek perdagangan, keutamaan akan diberikan kepada usaha memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan di samping menyokong peniaga kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi negeri.





“Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi Persekutuan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memperluaskan peluang perdagangan, menarik pelaburan serta membantu perniagaan tempatan meneroka pasaran yang lebih luas termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun berkata, Kerajaan Negeri akan turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diterajui Menteri, Datuk Armizan Mohd. Ali bagi memastikan inisiatif berkaitan kawalan harga, bekalan barangan keperluan serta perlindungan pengguna dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Mengulas mengenai portfolio Perpaduan Masyarakat, Choon Aik berkata Pulau Pinang sentiasa dikenali sebagai negeri yang meraikan kepelbagaian budaya serta keharmonian antara kaum.
“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan memperkukuhkan kerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memastikan suara serta keperluan masyarakat pada peringkat akar umbi dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada kerajaan negeri.
“Pendekatan ini penting bagi membolehkan isu-isu komuniti dikenal pasti dan ditangani secara lebih responsif serta inklusif.
“Saya percaya pembangunan ekonomi yang mampan serta hubungan masyarakat yang harmoni merupakan asas penting dalam memastikan Pulau Pinang terus kekal sebagai sebuah negeri yang progresif, stabil dan sejahtera,” katanya.
Terdahulu, Choon Aik mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Exco Kerajaan Negeri dengan penuh istiadat di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Yang Mulia Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dekat Anjung Seri Mutiara di sini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Rahsia turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri serta ex-officio.
Pada 4 Mac lalu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun memperkenan pelantikan Choon Aik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang selaras dengan Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi menggantikan ADUN Pantai Jerejak, YB Fahmi bin Zainol yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis MMKN berkuat kuasa pada hari yang sama.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: LAW SUUN TING & SITI NURATIKAH RAHMAT