Chowrasta dinaiktaraf jadi ikon warisan Pulau Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

LAKARAN artis rupa bentuk baru Pasar Basah Chowrasta yang bakal dinaiktaraf menjadi ikon “Central Business District” berkonsepkan Green Building Index iaitu yang pertama di Malaysia.
LAKARAN artis rupa bentuk baru Pasar Basah Chowrasta yang bakal dinaiktaraf menjadi ikon “Central Business District” berkonsepkan Green Building Index iaitu yang pertama di Malaysia.

GEORGE TOWN – Sejajar dengan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk menaiktaraf Pasar Basah Chowrasta menjadi ikon “Central Business District” di sini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, projek yang menelan belanja antara RM10 juta hingga RM12 juta itu dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai lebihan belanjawan selain keuntungan yang diperoleh daripada Majlis Perbadaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Pembangunan semula Pasar Chowrasta adalah yang pertama dilakukan sejak tahun 1961 (ia ditubuhkan). Penaiktarafan ini merupakan satu lagi kesungguhan pentadbiran Pakatan Rakyat dalam mempromosikan bangunan warisan,” ujar beliau pada satu sidang akhbar di Komtar, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penaiktarafan tersebut boleh dilakukan bukanlah disebabkan kerajaan tidak berbelanja dari bajet pembangunan seperti didakwa oleh pembangkang di negeri berkenaan.

“(Penjelasan) ini menolak niat jahat UMNO, kononnya, kita (Kerajaan Negeri) boleh belanja (naik taraf Pasar Chowrasta) kerana kita ‘tidak berbelanja’ (bajet pembangunan),” tegasnya.

Tambah Guan Eng, perbelanjaan pembangunan MPPP pada tahun 2007 sebanyak RM7 juta dan meningkat kepada RM8.9 juta pada tahun 2011.

Tahun 2012 menyaksikan pertambahan sebanyak RM24.5 juta lagi. Manakala, keuntungan MPPP bagi tahun 2008 didedah sebanyak RM25,882,209; diikuti 2009 (RM20,182,479) dan 2010 (RM63,268,428).

“Dengan kata lain, perbelanjaan pembangunan telah bertambah lebih tiga kali ganda daripada tahun 2007 hingga ke (tahun) 2012, tetapi, masih mampu mencatatkan keuntungan hasil tahunan (2008 hingga 2009),” jelas beliau.

Pasar Chowrasta merupakan antara pasar basah paling awal dibina di negeri berkenaan. Projek di bawah MPPP tersebut akan dikendalikan arkitek warisan antarabangsa, Laurence Loh. Malah, proses pembinaan pula akan dilakukan secara tender terbuka selepas proses merekabentuk pasar basah itu selesai kelak.

“(Pasar basah) ini adalah GBI (Green Building Index) pertama di Malaysia. Sebanyak 240 lot kedai akan dibina, termasuk gerai makanan (18) dan kedai jual barangan (18) di tingkat 1 bangunan pasar tersebut dan ia bakal mampu menampung kira-kira 150 parkir pada satu-satu masa.

“Dengan penaiktarafan ini, nyata membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang prihatin dengan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (supaya) dapat berniaga dalam keadaan yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat,” jelas Guan Eng.

Sementara itu, tinjauan Buletin Mutiara mendapati bahawa rata-rata peniaga memberi reaksi positif mengenai langkah Kerajaan Negeri menjadikan Chowrasta sebagai salah satu ikon warisan Pulau Pinang.

NASIR Ahmad.
NASIR Ahmad.

Bagi Nasir Ahmad, 46, yang berniaga buku-buku terpakai hampir 20 tahun di tingkat satu pasar tersebut berkata, Chawrasta yang didirikan pada 1960-an mampu menjadi aset warisan di negeri berkenaan sekarang.

“Bangunan ini bernilai kerana usianya cukup lama. Chowrasta memang terkenal bagi pengunjung luar (sama ada) dari Kuala Lumpur hingga (dari) Singapura, salah satunya adalah untuk mencari buku-buku lama yang sudah tidak diterbitkan lagi.

“Pengunjung mungkin akan kembali ke sini jika masalah trafik sesak, parkir terhad, dalam pasar yang gelap serta sunyi ini diselesaikan bersama-sama dengan projek naik taraf yang Kerajaan Negeri buat,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

ONG Ai Lin bersama bapanya, Ong Lye Theam, 80.
ONG Ai Lin bersama bapanya, Ong Lye Theam, 80.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ong Ai Lin, 48, generasi ketiga yang mewarisi perniagaan jeruk dan buah-buahan segar di pasar raya tersebut.

“Sekarang pun, ada warga asing datang di sini (Chowrasta) tapi tak banyak seperti dulu.

“Jeruk di sini terkenal. Pelanggan dari Johor, dari Singapura pun datang beli sebab (harga) jeruk kami sangat murah dan segar-segar untuk dijual di sana (luar negara) dengan harga yang mahal. 150 parkir tak cukup, mesti dibina lebih lagi sebab pengunjung tak suka susah nak membeli belah di sini,” ujarnya.