Restoran Peladang saji 120 lauk berasas bahan segar setiap hari

Oleh: YAP LEE YING
Gambar: LAW SUUN TING

MOHD. Radzuan Rahim menunjukkan lauk-pauk istimewa Restoran Peladang miliknya.
MOHD. Radzuan Rahim menunjukkan lauk-pauk istimewa Restoran Peladang miliknya.

DIDORONG oleh bakat dan minat sejak kecil, Mohd. Radzuan Rahim, 51, mengambil keputusan untuk bersara awal daripada perkhidmatan awam untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan makanan.

Keputusan diambil 12 tahun itu tidak pernah mengecewakan ayah kepada tiga cahaya mata tersebut yang kini merupakan pemilik Restoran Peladang tersohor di Jalan Genting, Balik Pulau.

Menyajikan 120 lauk setiap hari, antara menu istimewa Restoran Peladang adalah kari ikan sembilang dan gulai ayam kampung. Selain itu, ulam-ulaman dan lauk-pauk bakar seperti ikan, sotong, udang serta daging turut menjadi tarikan para pengunjung dari dalam dan juga luar negeri.

Tambah menarik, Restoran Peladang juga merupakan satu-satunya lokasi di Balik Pulau yang membekalkan air minuman nira nipah. Dengan harga RM3 segelas (gelas besar), kenikmatannya adalah tidak terhingga!

MOHD. Radzuan Rahim.
MOHD. Radzuan Rahim.

Menurut Mohd. Radzuan, bekalan harian nira nipah diperoleh daripada pembekal Seberang Perai. Tempoh maksimum penyimpanan minuman tersebut adalah selama tiga hari. Bagaimanapun, beliau memperoleh bekalan segar sebanyak 50 bungkus pada setiap hari bagi jaminan kualiti demi kepuasan para pelanggan.

“Rahsia masakan dan minuman di Restoran Peladang adalah kesegaran pada bahan-bahan masakan.

“Adalah menjadi rutin saya pada jam 5 petang setiap hari, saya akan ke Kuala Pulau Betong (Balik Pulau) untuk mendapatkan bekalan ikan-ikan segar. Begitu juga dengan bekalan sayur-sayuran untuk dimasak pada keesokan harinya,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Selain itu, tambah Mohd. Radzuan, komitmen, sikap rajin dan inisiatif turun padang turut menyumbang kepada kejayaan di dalam bidang diceburi kini.

“Selain faktor-faktor dinyatakan, sokongan keluarga dan sikap ‘menyayangi’ para pekerja adalah aset utama Restoran Peladang dapat bertahan sehingga kini,’’ jelasnya lagi.

PENYEDIAAN pelbagai hidangan lauk-pauk menjadi tarikan utama Restoran Peladang.
PENYEDIAAN pelbagai hidangan lauk-pauk menjadi tarikan utama Restoran Peladang.

Dalam pada itu, Mohd. Radzuan tidak menafikan bahawa persaingan merupakan antara cabaran utama dihadapi peniaga seperti beliau. Bagaimanapun, beliau bersikap positif dan menyatakan bahawa perkara tersebut dapat diatasi di atas komitmennya yang mengutamakan kepuasan para pelanggan.

“Kami buat yang terbaik untuk para pelanggan. Restoran kami menawarkan harga berpatutan berbanding restoran ataupun kedai-kedai makan lain. Tambahan pula, dari aspek pengambilan pekerja
(kakitangan), kami di sini membuka peluang dan memberi keutamaan kepada anak-anak tempatan,’’ katanya yang kini memiliki 11 kakitangan termasuk dua tukang masak, pembantu tukang masak (3) dan lain-lain.

Selain makanan berlauk untuk santapan tengah hari, pada waktu pagi, Restoran Peladang yang dibuka seawal 7.30 pagi setiap hari turut menghidangkan roti bakar, telur separuh masak berserta madu (bergantung kepada permintaan).

Bagi sebarang tempahan, sila hubungi Mohd. Radzuan di talian 013 – 417 8188 atau kunjungi Restoran Peladang di D/A Pertubuhan Peladang, Kawasan Seri Pulau, Jalan Genting, 11000 Balik Pulau. Waktu Operasi : Setiap hari, 7.30 pagi – 4 petang.

ANTARA hidangan menarik Restoran Peladang.
ANTARA hidangan menarik Restoran Peladang.