Citibank buka cawangan kedua di P.Pinang

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


BAYAN BARU – Cawangan kedua Citibank di One Precint dekat Bayan Baru menyerlahkan lagi status Pulau Pinang sebagai destinasi hab kewangan dunia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kali pertama Citigroup Transaction Services Malaysia Sdn. Bhd. (CTSM) membuka operasi perbankannya di negeri berkenaan pada tahun 1993.

“Berbekalkan modal insan, kepelbagaian demografik, faktor ekonomi, Pulau Pinang juga telah diiktiraf oleh Organisasi Pembangunan Industri Amerika Syarikat dalam 10 destinasi industri terbaik dunia,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon dan Sanjeev Nanavati (Ketua Pegawai Eksekutif Citibank Berhad) turut hadir pada majlis perasmian pembukaan cawangan bank antarabangsa itu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyediakan infrastruktur bertaraf antarabangsa seperti jalur lebar fiber-optik, pekerja berkemahiran tinggi, pengangkutan awam efisyen serta tempat tinggal demi menarik lebih ramai pelabur asing.

Sebelum itu, Sanjeev berkata, CTSM diiktiraf sebagai peneraju pemprosesan transaksi bertaraf antarabangsa.

“Pelancaran ini sudah pastinya akan memantapkan komitmen kami untuk menawarkan penyelesaian konsisten dan fleksibel pada kos
bersesuaian bagi membantu pelanggan kami,” ujar beliau.