MPSP berjaya kekalkan ISO 14007:2004

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – “Tahniah kepada semua kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana berjaya mengekalkan pensijilan ISO untuk tempoh dua tahun lagi (2013-2015),” ucap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sambutan Hari Majlis MPSP ke-39 di sini baru-baru ini.

Ucapan tersebut berikutan kejayaan MPSP mengekalkan Persijilan Semula ISO 14001:2004 sehingga 13 Jun 2015 daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Guan Eng berkata, sejak urus tadbir yang berlandaskan CAT, MPSP berjaya mencatatkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dan membanggakan.

“Kedudukan kewangan yang semakin kukuh membolehkan MPSP meneruskan program-program yang mengutamakan rakyat.

“Antara program yang dijalankan termasuklah program Cleaner, Greener, Safer and Healthier Penang, program Komuniti bersama masyarakat Seberang Perai dan juga dialog seperti yang diadakan hari ini’” ujar beliau.

Menurut Guan Eng lagi, MPSP kini sedang dalam proses untuk mendapatkan persijilan OHSA 18001:2007.

“Saya difahamkan persijilan ini memerlukan MPSP mengutamakan keselamatan dan kesihatan semasa bekerja. “Ini menunjukkan MPSP mempunyai inisiatif untuk menjaga kebajikan kakitangan yang bekerja di lapangan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut melancarkan Seberang Perai Tourist Map.

Beliau memberitahu, dengan pelancaran program ini dapat menggalakkan orang ramai mengunjungi Seberang Perai dan sekaligus dapat meningkatkan industri pelancongan negeri.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 2, P. Ramasamy, Exco Belia & Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng, dan Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif.