CLQ Teluk Kumbar ikut proses perundangan, tidak tergesa-gesa, respons Ketua Menteri

6439a1ab 24c9 468e 8acb 254b5c48c191 KETUA Menteri (kanan) dalam sedia media berkaitan bersama-sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran (kiri) seusai Majlis Sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya di sini pada 31 Disember 2023.

GEORGE TOWN -Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menafikan cadangan pembinaan projek asrama pekerja berpusat (CLQ) di kawasan Teluk Kumbar yang telah mendapat kelulusan teknikal Penilaian Impak Sosial (SIA) dan dibuat secara tergesa-gesa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz dalam satu kenyataan baru-baru ini antara lain mendakwa syor pemajuan CLQ di Teluk Kumbar dibuat secara tergesa-gesa sungguhpun mendapat bantahan penduduk lokal.

“Mana boleh tergesa-gesa, kita (Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang) ada prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, Datuk Bandar MBPP (Dato’ Ir. A. Rajendran) telah memaklumkan kepada saya bahawa Datuk Bandar akan berjumpa dengan Yang Berhormat (Azrul Mahathir) dalam satu rombongan bagi menerangkan butir-butir berhubung dengan cadangan projek ini,” jelasnya seusai merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas (50 Tahun) Taman Bandaraya di sini pada 31 Disember 2023.

9b44d8d4 aa32 4e88 8e18 50a1906fa169
KETUA Menteri (tujuh dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain merakamkan gambar kenang-kenangan di arca Jubli Emas 50 Tahun Taman Bandaraya (1972 – 2022) di sini pada 31 Disember 2023.
e907ec9e 3425 48f4 8783 b6878ead5b1e
KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama A. Rajendran (dua dari kiri), Cheong Chee Hong (kiri sekali) dan Mohammed Anwar Fazal Mohammed (kanan sekali) turut menyempurnakan acara menanam anak pokok Asam Gelugor atau ‘Garcinia’ sempena Sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya di sini pada awal pagi tadi.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, projek CLQ di Teluk Kumbar tersebut hanya akan dilaksanakan sekiranya memenuhi syarat-syarat berwajib seperti digariskan oleh Kerajaan Negeri dan MBPP.

“Pada peringkat ini, masih proses menunaikan syarat-syarat (pemajuan); kalau boleh tunaikan syarat-syarat, maka boleh berjalan (CLQ di Teluk Kumbar).

“Sekiranya syarat-syarat itu tidak dapat dipatuhi, maka borang kelulusan tidak dapat dikeluarkan (oleh MBPP) dan kelulusan muktamad itu tidak dapat dikeluarkan juga,” respons beliau.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut mengakui bahawa cadangan projek pemajuan CLQ di Teluk Kumbar tersebut masih dalam pertimbangan dan perundingan.

“Semua kelulusan dan permohonan adalah melalui proses perundangan yang ditetapkan oleh Akta, maka, segala keputusan perlu berpandukan pada Akta juga,” ujarnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN