CMR Eat4Donation Charity kongsi kegembiraan bersama golongan istimewa

Teks & Gambar: AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN BARU – Restoran masakan Cina Muslim Halal pertama dalam negeri, Restoran China Muslim (CMR) baru-baru ini meraikan ulangtahun ke-empat pengoperasiannya bersama anak – anak  yatim, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak terabai dalam suatu acara amal di sini.

Salah seorang pemilik bersama CMR, K.L. Ong ketika ditemui berkata, saban tahun sejak empat tahun lalu, setiap kali sambutan ulangtahun CMR, pihaknya akan mengadakan jamuan untuk anak-anak yatim terpilih bersama beberapa organisasi OKU.

“Tahun ini sedikit berbeza kerana kami bukan sahaja mengadakan jamuan dan memberi makanan percuma kepada pelanggan serta berkongsi kegembiraan, tetapi juga mengadakan kutipan dana amal melalui , CMR Eat4Donation Charity.

“Orang ramai yang hadir boleh menyumbang seberapa banyak jumlah yang mereka mahu sambil menikmati masakan Cina Muslim dengan harga paling minimum.

“Segala hasil jualan serta sumbangan akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim terpilih, OKU dan kanak-kanak terabai,” katanya yang berharap agar acara berkaitan dapat dijadikan program tahunan acapkali menyambut ulangtahun pengoperasian restoran.

Jelas Ong, istimewanya tahun ini, penganjuran acara amal tersebut turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti, Hidayah Centre Pulau Pinang (HCPP), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Pulau Pinang) yang turut menyumbang idea serta tenaga dalam memastikan kelancaran acara amal dijalankan.

“Rumah-rumah kebajikan yang dijemput tahun ini adalah Rumah Permata Kasih, Rumah Anak-anak Yatim St. Jospeh dan The Salvation Army Penang Childrens Home.

“Sebagai tambahan, seramai 40 kanak-kanak terabai sekitar Pulau Pinang turut dibawa khas ke acara amal ini,” ujar beliau.

Acara amal CMR Eat4Donation Charity turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk tarian singa, pameran dari penaja seperti Bank Muamalat dan Dr. Banner King, tazkirah serta cabutan bertuah.

Keseronokan semakin berganda apabila anak-anak yatim yang hadir menerima ‘duit raya’ disampaikan pemilik CMR iaitu Hashim Ismail dan Gao Min.