Pameran sains bakal lahirkan saintis masa depan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NAZLEEN NAJEEB

BAYAN BARU – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa penganjuran pameran sains perlu diperbanyakkan di negeri ini demi melahirkan generasi baru berpengetahuan luas dalam penguasaan bidang berkaitan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penang International Science Fair anjuran Penang Science Cluster (PSC) kelolaan syarikat pembekal peralatan perubatan terkemuka dunia, B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. (B. Braun) dengan kerjasama Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

“Program seperti ini bakal melahirkan saintis masa hadapan yang mana pameran yang berlangsung selama dua hari itu memfokus serta mendedahkan bidang sains dan kejuruteraan dalam kalangan generasi muda.

“Lebih bermakna, program terbabit merupakan pameran (sains) pertama di Malaysia menggunakan stadium tertutup sebagai lokasi penganjuran ekoran memperoleh penglibatan serta sambutan amat menggalakkan pada dua penganjuran sebelum ini,” ujarnya.

Pameran menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung terbabit adalah bertemakan, Inspirasi Inovasi.

Pada penganjuran pertama tahun 2011 oleh Intel Technology Sdn. Bhd. yang merupakan ahli PSC, ia berjaya menarik seramai 12,000 pengunjung, Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd., juga ahli PSC,(2013, 35,000).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan Presiden B. Braun Asia Pasifik, Anna Braun.

Bersempena itu, sebanyak 58 syarikat berteknologi tinggi turut mengambil bahagian dan kira-kira 80 sekolah, institusi pengajian tinggi awam serta swasta mengambil bahagian dalam pertandingan rekacipta sistem robotik.