Contohi MPKK Island Park, berjaya tuai hasil kebun komuniti – ADUN Seri Delima

SERI DELIMA – Kejayaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park mengusahakan program kebun komuniti dengan hasil tuaian lebih 500 pohon sayur-sayuran sejak bulan November lepas, wajar dicontohi oleh MPKK Green Lane Height.

SYERLEENA Abdul Aziz

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata demikian sebelum menyampaikan sumbangan bantuan berupa 30 pek bekalan barangan dapur kepada komuniti lokal terpilih di sini pada lewat petang tadi.

“Kebun komuniti ini merupakan suatu program yang sangat bagus di mana penduduk tempatan boleh mengambil bahagian untuk mengetahui cara menanam sayur dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti sistem hidroponik dan aquaponik.

“Kita harap MPKK di sini dapat memulakan projek kebun komuniti ini pada tahun depan (2021),” jelasnya di perkarangan Pejabat MPKK Green Lane Height di sini.

Rachel Teh (Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh) turut berucap pada majlis ringkas tersebut.

QUAH Boon Lim

Sebelum pada itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Quah Boon Lim berkata bahawa pihaknya pada tahun hadapan berusaha untuk menaik taraf kawasan pejalan kaki di sini sebagai kawasan rekreasi komuniti.

Baru-baru ini, Syerleena mengadakan lawatan kerja ke kebun komuniti peringkat MPKK Island Park dekat Lintang Mas.

Baginya kebun komuniti yang diusahakan oleh MPKK berkenaan merangkumi sistem hidroponik dan aquaponik dengan memelihara ikan dan kitaran sisa buangan digunakan sebagai baja, sekaligus mampu menjana pendapatan sampingan para peserta.

“Melalui projek tersebut, 500 (pohon) tanaman sayur-sayuran boleh dituai hasil usaha yang telah dimulakan sejak November lepas dengan kos pembinaan RM19,800.

“Jadi ia secara tidak langsung mampu menjana sumber kewangan MPKK dan sekiranya diusahakan di rumah, ia juga boleh jimatkan kos malah jadi pendapatan sampingan,” ujarnya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB