Corak bandar raya George Town ikut keunikan lokal, kata Datuk Bandar MBPP

Admin
A. Rajendran

9 MEI 2023 lepas Dato’ Ir. A. Rajendran dimasyhurkan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam majlis penuh istiadat dekat Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama di sini.

Beliau melafazkan ikrar terimaan jawatan itu di depan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang lain.

(Dari kanan) KETUA Menteri, A. Rajendran dan Jagdeep Singh Deo selepas majlis istiadat mengangkat sumpah dan terimaan jawatan Datuk Bandar MBSP ke-4 di Dewan Bandaraya di sini pada 9 Mei 2023.

Semasa berucap, Rajendran antara lain memberitahu bahawa beliau melaporkan diri untuk bertugas di Jabatan Kejuruteraan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu semasa berusia 23 tahun.

Sungguhpun telah berkhidmat selama 37 tahun dengan MBPP yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Rajendran berkata beliau secara peribadi tidak terlintas akan ditaklifkan sebagai Datuk Bandar MBPP Ke-4 ekoran persaraan wajib Dato’ Ir. Yew Tung Seang pada 5 Mei lepas.

“Walaupun tidak terlintas di fikiran saya pada suatu ketika dahulu bahawa saya akan diberi tanggungjawab ini (Datuk Bandar MBPP), pelantikan saya membuktikan bahawa di bawah Kerajaan Negeri hari ini, peluang terbuka kepada sesiapa pun yang komited,” jelasnya dalam nada sederhana.

Pada pagi ini, 17 Mei 2023, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, SIEW CHIA EN berpeluang menemu ramah tonggak utama MBPP di pejabatnya dekat tingkat 17, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

A. Rajendran semasa ditemuramah di Pejabat Datuk Bandar MBPP, Tingkat 17 KOMTAR pada awal pagi tadi (17 Mei 2023).

Memulakan bicara, Rajendran memberitahu bahawa beliau memulakan kerjaya dari bawah; pernah menjadi Penolong Jurutera MBPP, kemudian ditaklifkan sebagai Jurutera di PBT berkenaan.

Menurut Rajendran, beliau juga pernah menjadi Pengarah Kejuruteraan MBPP sebelum dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya pada 1 Januari 2022.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Rajendran memberitahu bahawa beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengurus besar Syarikat Bas Negeri Pulau Pinang selama kira-kira dua tahun sehingga 2007.

“Semasa berkhidmat, saya banyak kali dilibatkan dalam soal pengurusan trafik dan pengangkutan,” katanya.

Selain itu, Rajendran memberitahu bahawa beliau pernah juga ‘dipinjamkan’ ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang kini dikenali sebagai Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mengetuai Unit Trafik pada tahun 2000.

“Semasa itu, saya diminta untuk menyelesaikan dan menangani masalah kesesakan lalulintas dan isu pengangkutan awam peringkat negeri (iaitu) meliputi bahagian Seberang Perai dan pulau.

“Selepas tiga tahun (‘dipinjamkan’) di UPEN, saya kembali ke MPPP (ketika itu) sebagai Jurutera Kanan dan diminta untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Semasa dilantik sebagai Jurutera Kanan MBPP, pengangkutan awam di negeri Pulau Pinang begitu teruk, yang mana bas-bas awam dipajakkan kepada pemandu bas; keadaan bas yang begitu usang; kadang-kadang di tengah jalan raya bas awam rosak hingga menyusahkan pengguna; perkhidmatan pengangkutan awam disediakan pada waktu puncak sahaja tidak pada luar waktu puncak serta melalui laluan tertentu dan bukan semua.

“Jadi, kita (MPPP) pada waktu itu lihat perlu melakukan sesuatu secara menyeluruh untuk menangani masalah-masalah malar segar ini,” jelasnya sambil memuji usaha pelbagai pihak dalam membantu PBT berkenaan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Bercerita lanjut, Rajendran berkata MPPP semasa itu sampai peringkat menubuhkan sebuah anak syarikat untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik demi meningkatkan kualiti hidup penduduk lokal.

“Tetapi, selepas kita (MPPP) membuat kajian, didapati kita perlu menanggung kos yang terlalu tinggi kerana pengangkutan awam memang perlu disubsidi; tanpa bantuan Kerajaan Negeri semasa itu tidak mungkin sebuah PBT boleh menyerap kos pengoperasi pengangkutan awam berkaitan negeri,” jelasnya lagi.

Kata Rajendran lagi pihaknya menyedari bahawa peringkat PBT memang ada kekangan daripada sudut kewangan, namun kekangan itu sama sekali tidak mematahkan semangat pasukannya untuk mewujudkan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien dan mesra pengguna di Pulau Pinang.

“Berulang kali kita memberi taklimat untuk meminta Kerajaan Persekutuan membantu supaya pengguna pengangkutan awam di negeri Pulau Pinang tidak terus menghadapi kesulitan ini.

“(Dan), hasilnya Kerajaan Pusat sudi untuk menyediakan perkhidmatan (pengangkutan awam) RapidPenang di negeri ini, yang mana menjadikan Pulau Pulau sebagai negeri kedua selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat bantuan Kerajaan Pusat (dengan penubuhan RapidKL),” jelasnya lagi.

Pun begitu, beliau berkata segala pencapaian tersebut adalah tidak memadai untuk MBPP berlapang dada memandangkan ketika ini sekitar mod RapidPenang masih belum benar-benar merosotkan kesesakan trafik di beberapa jalan raya utama sekitar bandar raya George Town dengan jolokan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Dalam isu yang melibatkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan bandar raya, saya bersama-sama jawatankuasa terlibat telah membentangkan cadangan-cadangan penambahbaikan terutama (dalam menyusun semula aliran trafik) jalan sehala.

“Kita (MBPP) juga lihat rangkaian jalan utama di Masjid Negeri, Jalan Scotland dan Tanjong Tokong umpamanya yang mana kita cuba selesaikan masalah (kesesakan trafik) di lingkaran jalan utama.

“Kita juga cuba selesaikan isu aliran trafik yang melibatkan jalan-jalan pinggiran dan jalan-jalan masuk ke bandar raya George Town ini, di samping menjadikan jalan-jalan cabang sebagai jalan sehala supaya boleh diwujudkan petak parkir tambahan,” jelasnya lagi dalam nada sederhana.

Selain memberi tumpuan pada solusi kesesakan trafik, Rajendran berkata MBPP juga akan terus memberi tumpuan pada pembangunan infrastruktur pelbagai yang lain demi meningkatkan kualiti hidup rakyat teramai.

“Contoh pembinaan infrastruktur berkaitan adalah pembinaan pusingan U di Jalan Masjid Negeri, projek Jelutung Expressway (juga dikenali sebagai Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu); tidak dilupakan juga MBPP terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong (iaitu) lebuh raya tertinggi di negara ini.

“Gambarannya di sini, tidak cukup dengan memperkasakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam bagi menangani isu kesesakan trafik; perlu melibatkan pembangunan infrastruktur dalam pelbagai aspek seperti pembinaan jalan, infrastruktur jalan, pelebaran dan penaiktarafan jalan sedia ada serta memastikan pengurusan trafik – larangan parkir kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan – senantiada dikuatkuasakan,” ujarnya.

Tidak cukup sekadar memberi tumpuan pada pemerkasaan sistem pengangkutan awam, Rajendran berkata MBPP sehingga kini turut mewujudkan lebih banyak kemudahan untuk berbasikal dan pejalan kaki untuk mengubah tabiat pengguna jalan raya daripada menggunakan kereta persendirian di dalam kawasan bandar raya.

“Kita juga sedang berusaha merealisasikam pembinaan LRT (transit aliran ringan) dan teksi air untuk mempelbagaikan mod pengangkutan awam di negeri ini terutama di bandar raya George Town,” tambahnya lagi.

Menyedari tanggungjawab sebagai Datuk Bandar MBPP bukan mudah, Rajendran memberitahu bahawa pentadbirannya cuba menggariskan perancangan berkaitan untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Untuk jangka masa pendek, tumpuan saya sebagai Datuk Bandar antaranya akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik.

“Walaupun tahap kebersihan bandar raya kian meningkat, saya berpendapat MBPP masih berdepan pelbagai cabaran lain, antaranya daya tahan kita dalam menghadapi krisis iklim.

“Sejak beberapa tahun lalu, MBPP telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam mendepani masalah krisis iklim, antaranya projek penarafan sistem perparitan untuk mengurangkan risiko banjir; dan penanaman pokok (teduh dan renek) begitu banyak bagi mendepani isu pelepasan karbon.

“Untuk membuat persiapan menghadapi krisis iklim ini tidak boleh MBPP sahaja buat, perlu usaha pelbagai pihak dan peringkat sejagat (yang mana) kita (MBPP) turut melihat polisi berkaitan yang berjaya dibuat di negara-negara lain,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau turut bersetuju dengan amanat Kon Yeow pada 15 Mei lepas yang mana memaklumkan bahawa MBSP tidak seharusnya selesa dengan segala pencapaian sedia ada memandangkan ekspektasi rakyat dari semasa ke semasa terhadap PBT berkenaan kian meningkat.

“Memang bandar raya George Town ini sedang berkembang dan membangun, maka menuntut pelbagai ekspektasi rakyat dan penduduk setempat.

“Cukai dan pendapatan kita (MBPP) juga walaupun turut meningkat (seperti ekspektasi rakyat yang kian tinggi terhadap PBT berkenaan), tetapi terhad untuk menyelesaikan semua masalah di negeri Pulau Pinang; dengan kedudukan kewangan sedia ada, tidak mungkin dapat kita memenuhi semua (ekspektasi rakyat dalam tempoh jangka masa yang pendek ini).

“Justeru, pertama, kita (MBPP) perlu berbelanja secara hemat; kedua, kita perlu mendapatkan kerjasama dengan semua pihak termasuk pihak swasta; ketiga, kita perlu mendapatkan kerjasama daripada penduduk bagi menjayakan satu-satu dasar peringkat tempatan seperti program pengkomposan, program pengurangan penggunaan tenaga, kurangkan penjanaan sisa pepejal yang mana semua ini turut akan menyumbang pada penjimatan sumber dana MBPP.

“Dana MBPP akan dibelanjakan secara hemat dan adil untuk memenuhi semua ekspektasi penduduk, walaupun kita tak dapat buat secara sekali gus dan terpaksa buat secara berperingkat.

“Macam projek pemasangan lampu LED, kita cuba mendapatkan pembiayaan daripada pihak swasta dengan tidak membelanjakan duit MBPP, kita dapat jimatkan dana PBT dan salurkan dana penjimatan itu kepada program-program yang lain, walaupun projek ini dalam tempoh 15 tahun yang mana kita tidak perlu mengeluarkan dana (MBPP)” jelasnya lagi.

Pada hujung bicarawara, Buletin Mutiara turut meminta Rajendran selaku Datuk Bandar menjelaskan impian peribadinya adalah untuk mencorak bandar raya George Town pada masa hadapan.

“Pulau Pinang (termasuk George Town) ini unik, jadi kita (MBPP) perlu mencorak bandar raya ini berasaskan keunikan kita (peringkat lokal) dan keadaan kita sekarang ini.

“Menetapkan tanda aras kita dengan mana-mana tanda aras bandar raya peringkat dunia ini adalah penting, tetapi dalam menetapkan tanda aras bandar raya George Town ini mestilah selaras dengan kehendak rakyat tempat di Pulau Pinang…itu paling penting.

“Di Pulau Pinang, kita ada laut di sekeliling kita; kita ada (George Town) Tapak Warisan Dunia UNESCO; kita ada kawasan hijau; tetapi tanah kita terhad.

“Jadi, kita perlu sesuaikan…macam (Projek) Tambakan Laut Selatan Pulau atau Penang South Islands (PSI), kita perlu tengok kawasan yang mana kita boleh bangunkan (dengan mengambil kira kehendak penduduk setempat mengikut keunuikan lokal).

“Kita tidak perlu katakan (bandar raya George Town) mesti kena sesuaikan diri dengan mana-mana satu bandar di dunia, tetapi kita perlu mencipta bandar raya kita sendiri mengikut keunikan kita sendiri.

“Kita (MBPP) juga ingin tahu apakah kehendak penduduk di bandar raya ini, bukan sahaja kita mencorak bandar raya ini sendiri, mesti ada persetujuan melibatkan semua pihak yang memegang taruh dalam membangunkan bandar raya ini.

“Paling penting untuk saya selaku Datuk Bandar MBPP yang keempat adalah untuk melihat sekalian penduduk boleh hidup di bandar raya ini dalam suasana gembira; seperkara lagi pembangunan masa depan bandar raya ini mestilah bukan sahaja untuk generasi kita sahaja, malah untuk generasi masa depan dan anak cucu kita,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana selama ini memberi liputan meluas pada program-program MBPP.

END