COVID-19: MAINPP umum inisiatif ringankan beban umat Islam

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengumumkan beberapa lagi insiatif baharu bagi meringankan beban umat Islam yang terjejas secara langsung akibat pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sejak PKP dilaksanakan, pihaknya secara proaktif mengadakan beberapa siri perbincangan sebagai usaha membantu umat Islam di negeri ini.

 

“Sebelum ini, saya telah mengumumkan Pakej Bantuan Khas Zakat COVID-19 Fasa 1 yang mensasarkan golongan peniaga kecil dan penjaja gerai tepi jalan.

 

Bantuan ini membabitkan pemberian bantuan sebanyak RM500 untuk setiap permohonan yang berjaya dan sehingga 6 petang semalam (25 Mac 2020) hampir 3,000 permohonan diterima secara dalam talian.

 

“(Dan) bagi mereka yang berhasrat atau layak memohon bolehlah membuat permohonan segera kerana tarikh tutup permohonan adalah pada 27 Mac 2020,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook (https://www.facebook.com/zakiyuddin.my/) tadi.

 

Selain Pakej Bantuan Khas Zakat COVID-19 Fasa 1, Ahmad Zakiyuddin yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I, sebelum ini, turut mengumumkan sumbangan kepada masjid dan surau di negeri ini bagi kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman membabitkan peruntukan berjumlah RM305,600.

 

Begitu juga dengan Bantuan Kewangan Sara Hidup Bulanan yang disalurkan oleh Zakat Pulau Pinang kepada 3,673 penerima dengan peruntukan RM1.2 juta, diawalkan. 

 

“Hari ini, saya ingin mengumumkan beberapa lagi inisiatif yang akan diambil bagi membantu meringankan beban umat Islam yang terjejas secara langsung.

 

“Malah, MAINPP juga sedang memperhalusi beberapa cadangan lain bagi membantu kelompak masyarakat yang terjejas dan insyaAllah MAINPP akan maklumkan perkembangan ini dari masa ke masa,” katanya.

 

Antara inisiatif baharu yang diumumkan adalah:

 

 

1. Bantuan Kecemasan RM1,000,000 kepada anak kariah yang terputus bekalan makanan.

 

 

Senarai nama anak kariah yang terjejas perlu dihantar melalui Pegawai Tadbir Agama Daerah terlebih dahulu untuk pengesahan. 

 

Wang bantuan kecemasan ini akan disalurkan ke dalam bank akaun masjid kariah dan terserah atas budi bicara pihak masjid untuk menyalurkan kepada anak kariah sama ada melalui pembelian barangan makanan atau bayaran secara tunai dengan nilai bantuan RM100 setiap keluarga.

 

2. Pakej Bantuan Khas Zakat COVID-19 Fasa 2 akan memberikan tumpuan terhadap kumpulan lain yang turut terjejas dengan jumlah bantuan yang sama iaitu RM3,000,000 kepada:

 

  • guru-guru agama
  • guru-guru tahfiz
  • pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa
  • pekerja bergajian harian sepenuh masa yang tidak mempunyai sebarang punca pendapatan semasa PKP dilaksanakan.

 

Maklumat mengenai permohonan ini akan dimaklumkan kelak melalui platform media sosial Zakat Pulau Pinang.

 

 

3.  Pengecualian dua bulan sewaan premis MAINPP

 

 

Pengecualian sewa diberikan kepada semua penyewa premis MAINPP bagi bulan April dan Mei 2020.

 

 

4.  Penubuhan Tabung Wira Negara MAINPP

 

 

Tabung ini diwujudkan bagi mengumpul dana untuk membantu menyalurkan sumbangan kepada petugas di barisan hadapan (frontliners) yang bertugas di Pulau Pinang.

 

Bantuan ini akan disalurkan kepada pasukan perkhidmatan kesihatan dan pasukan keselamatan bagi membeli keperluan peralatan dan juga bekalan makanan.

 

Sebagai permulaan MAINPP menyalurkan RM50,000 menggunakan hasil dana wakaf.

 

Justeru, pihak korporat atau individu yang berminat boleh menyalurkan derma ke Tabung Wira Negara – MAINPP melalui nombor akaun 07025010036936 (Bank Islam).

 

Sementara itu, dalam sidang media sama, Ahmad Zakiyuddin turut menyambut baik Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri semalam dengan dana sebanyak RM75 juta.

 

“Ini termasuklah bantuan one-off RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau di negeri ini.

 

Semoga dengan ikhtiar ini, kita dapat sama-sama memastikan supaya mereka yang memerlukan menerima bantuan dan sumbangan pada kadar segera.

 

“Bagi pihak MAINPP, kami akan cuba yang terbaik bagi memastikan tiada golongan yang layak tercicir dalam situasi getir ini.

 

“(Dan) semoga seluruh umat Islam di Pulau Pinang terus istiqamah mengadakan solat hajat serta munajat agar Allah SWT segera mengangkat wabak COVID-19 ini, aamiin,” zahirnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI