Covid-19: Polis lancar tiga sekatan trafik di bahagian Pulau

BATU UBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi melancarkan tiga sekatan trafik secara serentak membabitkan tiga lokasi dekat bahagian pulau iaitu Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jalan Batu Feringgi dan Jalan Paya Terobong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong memberitahu bahawa sekatan trafik tersebut dibuat demi menasihati orang awam agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020, serta menghadkan pergerakan di luar rumah.

“Operasi (sekatan trafik) ini dijalankan supaya orang ramai diingatkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya hadkan pergerakan di luar rumah dalam tempoh Perintah (Kawalan Pergerakan) ini,” jelasnya ketika dihubungi pada lewat malam 18 Mac 2020.

Difahamkan, operasi selatan trafik yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi dekat negeri ini adalah bermula sejak 3 petang, 18 Mac 2020, dan akan berterusan sehingga 31 Mac 2020.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB