Ops Pantau MBPP dapati 34 premis hiburan patuh Perintah Kawalan Pergerakan

GEORGE TOWN – Operasi pemantauan dilaksanakan Bahagian Pelesenan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada malam tadi mendapati semua 34 premis hiburan berlesen mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, sebagaimana dalam notis pemberitahuan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Penolong Jurutera Kanan Bahagian Pelesenan MBPP, Mohamad Badri Zakaria memberitahu bahawa operasi pemantauan tersebut akan dilaksanakan tiap-tiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, 18 hingga 31 Mac 2020.

“Kita telahpun menyerahkan notis berwajib kepada 34 premis hiburan demi memastikan mereka patuh kepada larangan-larangan yang telahpun kita (MBPP) keluarkan.

MOHAMAD Badri Zakaria (kiri) diiringi M. Bawani melekatkan notis MBSP pada pintu utama sebuah premis hiburan terkenal di KADUN Pulau Tikus pada malam tadi.

“Kita harap semua pengusaha premis hiburan ini mematuhi segala larangan sehingga Perintah (Kawalan Pergerakan) ini tamat (pada 31 Mac 2020).

“Jika berlaku pelanggaran (perintah), kita (MBPP) akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” tegasnya dalam sidang media di perkarangan Pusat Hiburan Soju dekat sini pada lewat malam tadi (18 Mac 2020).

Seramai 20 anggota menyertai operasi pemantauan tersebut.

Menurut Mohamad Badri, operasi pemantauan dan penguatkuasa yang dilaksanakan tersebut adalah berdasarkan peruntukan kuasa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-Penyakit, 1988.

“Sekiranya kita (MBPP) mendapati premis-premis hiburan ini ingkar arahan, kita (MBPP) akan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” tegas beliau.

Selain itu, Mohamad Badri menyatakan bahawa orang awam boleh membuat aduan melalui tiga saluran utama iaitu e-aduan (http://aduan.mbpp.gov.my/), WhatsApp (0162004082) atau panggilan telefon (042637637 / 7000), sekiranya mendapati mana-mana pihak ingkar arahan berwajib MBPP.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran MBPP, M. Bawani turut mengulas mengenai tiga individu yang dipercayai warga asing, dikenal pasti minum secara terbuka di perkarangan luar sebuah kedai serbaneka dekat Penang Times Square, ketika operasi pemantauan sedang dijalankan pada malam tadi.

“Ya…ketiga-tiga (individu terbabit) adalah warga asing, mungkin tidak tahu mengenai larangan minum di mana-mana premis (makanan) bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Sepatutnya, pengusaha perlu memastikan saranan seperti pelanggan jarak kira-kira 1 meter (m) antara satu sama lain demi mengurangkan risiko penularan wabak, diamalkan… larangan minum di restoran juga diamalkan.

“Bagi kes seumpama ini, pada peringkat awal, kita akan melaksanakan pendekatan pendidikan penguatkuasaan, sekiranya ada (elemen) ingkar arahan barulah kita buat aduan polis untuk langkah penguatkuasaan selanjutnya,” ulasnya.

BEBERAPA pegawai Bahagian Pelesenan MBPP kelihatan sedang berunding dengan wakil pengusaha sebuah premis hiburan terkenal, untuk melaksanakan kerja-kerja pemantauan di dalam bangunan tersebut pada malam tadi.

Difahamkan, operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis hiburan yang dilaksanakan oleh MBPP pada malam tadi adalah meliputi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar, Pulau Tikus, Datuk Keramat dan Padang Kota.

Terdahulu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang mengumumkan premis makanan dibenarkan beroperasi seperti biasa, dengan menjual makanan secara bungkusan sahaja.

Beliau turut mengarahkan premis-premis hiburan supaya tidak beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta meminta semua orang supaya duduk di rumah sahaja demi memperlahankan penularan wabak COVID-19.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB