COVID-19: Pulau Pinang batal penyertaan ke Sumut Fair 2020 di Sumatera, 20 Mac – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini mengumumkan pembatalan penyertaan ke Sumut Fair 2020 kali ke-49 di Pekan Raya Sumatera Utara bermula 20 Mac hingga 20 April depan.

Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa langkah itu susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac lepas mengumumkan penularan COVID-19 yang ketika ini berada pada tahap pandemik.

“(Kerajaan Negeri) Pulau Pinang membatalkan penyertaan dalam Sumut Fair 2020 atau sebelum ini dikenali sebagai Medan Fair pada kali ini kerana mengikut garis panduan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemakluman rasmi kepada pihak sekretariat (Sumut Fair 2020) telah diajukan pada 12 Mac 2020 (semalam),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dalam sidang media di Komtar pada 13 Mac 2020.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Abdul Halim memberitahu seramai 27 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan 12 agensi negeri dan persekutuan sepatutnya menyertai acara promosi selama 30 hari di Pekan Raya Sumatera Utara, Indonesia.

Difahamkan, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menyertai acara tahunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Halim memberitahu bahawa beberapa program berskala kecil yang telahpun dirancang sebelum ini, diteruskan seperti biasa dengan menjalani langkah-langkah pencegahan berwajib.

Program yang dimaksudkan, menurut beliau, kursus ABCD Usahawan Digital 5.0 di Auditorium MBSP Bandar Perda pada 21 Mac 2020 dan Hotel Seri Malaysia (Bayan Baru) pada 22 Mac 2020.

“Keseluruhan peserta kira-kira 120 peserta, setiap program ini akan menjalani langkah pencegahan seperti penyediaan pembersih tangan (sanitizer) dan pemeriksaan suhu badan.

“Untuk makluman, semua program di peringkat negeri dan antarabangsa seperti Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) pada 21 hingga 23 Ogos 2020; Penang Techfest dan World Congress On Information Technology (WCIT) pada 11 hingga 20 September 2020; dan Dubai Expo pada Oktober 2020 hinggga Mac 2021, adalah seperti dijadualkan.

“Semua tarikh PIHEC, WCIT dan Dubai Expo masih jauh lagi, bulan Ogos dan sebagainya, setakat ini dijadualkan seperti biasa,” respons beliau.

Abdul Halim memberitahu pihaknya akan mengemas kini dari semasa ke semasa berhubung status penganjuran program-program yang telah dirancang tersebut, berdasarkan nasihat KKM, kelak.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN