COVID-19: Exco nasihat tangguhkan penganjuran program sukan

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menasihatkan agar semua penganjuran program sukan ditangguhkan buat sementara waktu susulan penularan wabak koronavirus (COVID-19) yang telah memasuki gelombang kedua.

Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama-sama delegasi daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) di pejabatnya, Komtar.

Delegasi yang diketuai oleh Pesuruhjaya Sukan, Dr. Wirdati Mohd. Radzi hadir ke Pejabat Exco Belia dan Sukan bersama-sama Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Christopher Koh Boon Han serta tiga lagi wakil daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, Lip Chee saling berkongsi maklumat dan pendapat mengenai perkembangan program sukan semasa termasuk situasi penularan wabak koronavirus (COVID-19) sejak kebelakangan ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) sentiasa menasihati semua penganjur program sukan yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini untuk menangguhkannya terlebih dahulu berikutan gelombang kedua wabak COVID-19 semakin meruncing.

“Namun begitu, langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup mulut dan hidung serta sentiasa membasuh tangan perlulah dititikberatkan sekiranya pihak penganjur tetap ingin meneruskan program sukan mereka.

“Nasihat ini dirasakan bertepatan dengan kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menggesa agar semua aktiviti yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Sementara itu, dalam nada sama, Wirdati turut menggesa semua penganjur program supaya mendapatkan kelulusan daripada PSM serta Kerajaan Negeri sebelum merancang untuk menganjurkan sebarang program sukan selepas ini.

“Hal ini amat mustahak kerana terdapat sesetengah penganjur menjalankan program secara ‘haram’ dan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan.

“Melalui kelulusan program ini, ia mampu memudahkan bukan sahaja pihak PSM dan Kerajaan Negeri, bahkan juga peserta yang menyertai sekiranya terdapat unsur penipuan dari pihak penganjur.

“Tambahan pula dengan penularan wabak sebegini, ia akan merumitkan lagi keadaan sekiranya pemulangan bayaran yuran perlu dilakukan oleh pihak penganjur ekoran pembatalan atau penundaan program,” jelasnya lagi.

Turut dibincangkan adalah cadangan bagi memperkenalkan kursus pengadilan dan kejurulatihan sebagai inisiatif dalam memastikan kebajikan atlet terjaga.

Difahamkan, ini adalah pertemuan rasmi julung kali antara Lip Chee dan PSM.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: ALVIE CHENG CIN WEI