COVID-19: TNB sumbang RM2 juta, RM200,000 Tamarins Group

Admin

GEORGE TOWN – Syarikat pembekal tenaga negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi membantu menjayakan usaha membebaskan negeri daripada wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima sumbangan tersebut daripada Pengurus TNB negeri, Norsalizawati Hashmawi sambil disaksikan oleh dua pegawai firma berkenaan.

Bercakap dalam sidang Facebook Live, Kon Yeow memberitahu bahawa sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalid untuk tujuan membeli peralatan perubatan dan kelengkapan klinikal yang diperlukan bagi melawan penularan wabak COVID-19.

“Percayalah bahawa pengorbanan anda akan menyelamatkan ramai nyawa.

“Sama-sama kita pastikan rangkaian jangkitan COVID-19 diputuskan, ini memerlukan usaha sama bersama,” jelasnya di Komtar pada 3 Mac 2020.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menerima RM200,000 sumbangan korporat daripada Pengarah syarikat pemaju, Tamarins Group Sdn. Bhd., Tay Kean Huat.

SAMBIL memegang plakad ‘Penang Lawan COVID-19’, Ketua Menteri (kanan) menerima cek sumbangan RM200,000 daripada Tay Kean Huat di sini pada petang tadi.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana masih terus memberi kerjasama dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mengumumkan seramai 1,392 penerima bantuan am negeri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima bantuan tunai one-off RM500 pada hari ini, sebagaimana dijanjikan dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.

Tambah beliau, penerima bantuan persekutuan JKM juga akan mendapat bantuan kewangan selewat-lewatnya pada 10 April 2020.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa agihan bantuan RM500 kepada penjaja berlesen yang sepatutnya selepas 15 April depan, mula disalurkan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai hari ini.

“Kedua-dua PBT yakin bahawa semua pembayaran dapat disempurnakan dalam tempoh tiga hari setelah menerima dokumen lengkap daripada pihak berkaitan.

“Malah, bayaran bagi pemandu pelancong juga telah dimulakan sejak semalam.

“Bagi penarik beca, bayaran akan dilakukan secara manual pada minggu ini,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD