Tawar hotel jadi tempat inap petugas hospital, JKNPP dipuji

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap akan ada pihak swasta tampil menawarkan tempat penginapan untuk mereka yang dikuarantin termasuk yang baru pulang dari luar negara, ketika menghadapi wabak COVID-19 kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian susulan menerima tawaran daripada seorang usahawan hotel untuk menyediakan penempatan kepada para petugas hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Saya juga ingin… mengucapkan terima kasih kepada seorang usahawan di Pulau Pinang yang telah menawarkan hotel beliau sebagai (tempat) penginapan kepada petugas-petugas hospital dan JKNPP sepanjang tempoh (pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP) ini.

“Harapan saya, akan ada pihak-pihak swasta yang tampil menawarkan penginapan kepada mereka yang perlu dikuarantin termasuk yang baru tiba dari luar negara,” jelasnya dalam sesi Siaran Facebook Live di Komtar pada 3 April 2020.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) turut mengumumkan kedai-kedai yang menjual input pertanian (baja atau racun), kelengkapan, penjualan makanan haiwan kesayangan, makanan haiwan serta ubatan dan alat tukar ganti dibenarkan beroperasi pada hari Isnin dan Khamis sahaja mulai 6 April 2020, pada jam 8 pagi hingga 2 petang.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pemberhentian semua perkhidmatan bas CAT percuma tajaan Kerajaan Negeri berkuat kuasa pada 4 April 2020.

“Bagi laluan BEST FIZ, laluan A dan laluan C sahaja, akan terus beroperasi dengan sebuah bas setiap laluan sebagaimana yang diumumkan pada 31 Mac (lepas),” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada komuniti Cina yang tidak keluar rumah untuk menziarahi kubur nenek moyang serta orang tersayang sempena tempoh Cheng Beng pada tahun ini.

“Mesyuarat (JKKN) turut mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri ini bagi mengekang penularan COVID-19.

“Penghargaan juga kepada semua masyarakat di Pulau Pinang kerana telah mengamalkan kepercayaan dan agama anda tanpa melanggar PKP,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD