CSR PDC mampu kurang sesak persimpangan Bukit Tambun

Admin

BUKIT TAMBUN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membelanjakan sejumlah RM7.8 juta sebagai sebahagian tanggungjawab korporat sosialnya (CSR) menerusi pembinaan projek jalan menghubungkan utara Penang Science Park (PSP) dengan Persimpangan Jalan Estate, Juru di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan majlis pelancarannya berkata, projek tersebut dilihat mampu mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di persimpangan Bukit Tambun.

“Ini merupakan maklum balas para pelabur di sini tentang kesesakan yang sering berlaku di persimpangan Bukit Tambun.

“Selain itu, jalan arteri ini mampu meningkatkan rangkaian pengangkutan jalan raya di kawasan ini, di samping menyediakan tol alternatif akses percuma kepada rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Zulkifli Long dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Guan Eng dalam pada itu menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) mahu menjalankan pembangunan seimbang di kawasan pulau dan Seberang Perai.

“Justeru, Kerajaan Negeri membelanjakan 60 peratus perbelanjaan untuk pembangunan di Seberang Perai dan 40 peratus di sebelah pulau, dan ini belum termasuk perbelanjaan PDC. Kita bukan macam kerajaan terdahulu,” jelasnya.

Projek sepanjang 880 meter (m) tersebut mula dibina pada bulan November 2016 dan dijangka siap Februari 2018.

Difahamkan pembinaan jalan tersebut juga akan menggalakkan pembangunan PSP yang merupakan kawasan perindustrian seluas 482 ekar.