Kerajaan Negeri umum pengecualian cukai pintu 1,364 unit kediaman Gat Lebuh Macallum

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk memberi pengecualian cukai pintu bagi tahun 2016 dan 2017 membabitkan 1,364 unit kediaman pangsapuri di Gat Lebuh Macallum.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 29 Mac lalu membuat keputusan itu selepas mengambil kira asas permohonan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat, sebelum ini.

“(Pangsapuri) di Gat Lebuh Macallum sebelum ini dikategorikan sebagai rumah pangsa sahaja, jadi MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) pada masa dahulu hingga sekarang tidak memasukkan ia sebagai KR (rumah kos rendah) atau KSR (kos sederhana rendah).

“Selepas diteliti, didapati rumah-rumah ini boleh dikategorikan sebagai KSR atau KR.

“Semua (1,364 unit kediaman yang dikenal pasti) layak untuk diberikan pengecualian cukai oleh MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) bagi tahun 2016 dan 2017,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini.

Selepas itu, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri melalui MBPP dalam tempoh setahun dianggarkan akan kekurangan kutipan hasil bernilai RM172,023.85.

Difahamkan, 1,364 unit kediaman yang dikecualikan cukai tersebut adalah 78 unit di Blok 344, Blok 346 (88), Blok 348 (160), Blok 350 (88), Blok 352 (160), Blok 354 (160), Blok 358 (160), Blok 360 (160), Blok 362 (160), U-Shaped Blok 1 (73) dan U-Shaped Blok 2 (77).