Cubaan seludup racun ‘haram’ ke Pulau Pinang tumpas

Admin

PINANG TUNGGAL – Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri berjaya merampas menumpaskan cubaan membawa masuk racun perosak ‘haram’ yang tidak berdaftar ke negara ini pada 26 Mac lalu.

Pengarah Pertanian Malaysia, Datuk Mohd Nasir Warris memberitahu bahawa bahan jenis ‘Paraquat Dichloride’ 42 peratus yang diisi ke dalam 80 tong dengan beratan kira-kira 17,600 kilogram tersebut bernilai sebanyak RM171,212.

“Ini, merupakan rampasan terbesar dalam tahun ini.

“Ini juga merupakan rampasan kali pertama yang melibatkan pengimportan racun makhluk perosak tidak berdaftar yang berjaya ditumpaskan,” jelasnya kepada pemberita di Kompleks Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas pada 12 April 2021.

Mengulas lanjut, Mohd. Nasir memberitahu jika bahan yang dirampaskan itu dikilangkan, ia boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 3,000 tong ‘Paraquat Dichloride’ 13 peratus dengan nilai dianggarkan berjumlah RM450,000.00.

Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia, Mat Iesak Ngathinee; Pengarah Pertanian Negeri, Mohamad Muhaimin Ibrahim; dan Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Noriah Dahlan turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB