Cukai pintu 2016: MBPP diminta semak semula, bayar balik bayaran

PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyemak semula status pembayaran cukai pintu bagi tahun 2016 melibatkan penghuni rumah kos rendah (RKR) dan kos sederhana rendah (KSR).

Guan Eng berkata demikian ketika hadir merasmikan Projek Pengasingan Sisa Di Punca dekat kawasan perumahan kos rendah Sun Moon City, Paya Terubong di sini 12 Jun lalu.

Ujar beliau, penghuni RKR dan KSR tidak perlu membayar cukai pintu bagi tahun 2016 sebagaimana diumum dalam pembentangan Bajet Negeri 2016 sebelum ini.

“Saya sudah umumkan bahawa penghuni di kawasan perumahan kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) tidak perlu lagi membayar cukai pintu tahun ini (2016).

“Sesiapa yang telahpun membuat pembayaran, saya akan meminta MBPP menyemak semula status masing-masing (pembayar cukai) dan pulangkan wang mereka bagi tahun ini,” ujarnya setelah menerima respons daripada penduduk bahawa cukai pintu bagi tahun 2016 sudahpun dibayar.

Dalam pada itu, Guan Eng turut meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Ahli-ahli Majlis MBPP untuk membantu penduduk berhubung perkara berkaitan.

Sementara itu, ketika ditemui, Ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang memberitahu, notis bayaran bil cukai pintu bagi tahun 2016 mula dikeluarkan sejak penghujung Oktober 2015.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, pengumuman berhubung pengecualian cukai pintu bagi tahun 2016 hanya dimaklumkan setelah pembentangan bajet pada 6 November 2015.

“Oleh itu, bagi pemilik unit yang terlibat, mereka diminta untuk mengabaikan notis bil yang diterima sebelum ini.

“Manakala, bagi mereka yang sudah membuat bayaran, boleh menuntut bayaran balik cukai di pejabat MBPP, Tingkat 12, Komtar.

“Pembayaran balik akan dibuat melalui pindahan dana elektronik (electronic fund transfer, EFT),” jelasnya.

Bagi mereka yang ingin menuntut bayaran balik bayaran berkaitan, Soon Siang menasihati agar membawa bersama-sama resit bayaran yang telah dijelaskan sebagai bukti dan mengisi borang bayaran balik cukai secara EFT.

Maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBPP di talian 04 – 259 2020.