Cukai taksiran, Kerajaan Negeri cari satu keseimbangan supaya majoriti tidak dibebankan dengan kadar baru

Admin

SUNGAI BAKAP – Kenaikan cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu dijamin tidak akan membebankan golongan isi rumah pendapatan 40 peratus paling rendah (B40) terutama mereka yang mendiami rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata peningkatan tersebut adalah membabitkan tambahan beberapa ringgit terutamanya kepada golongan B40.

“Golongan B40 (iaitu mereka yang diami) rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah, kenaikan (cukai taksiran) adalah beberapa ringgit.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) pun sudah ambil kira, supaya B40 tidak terjejas.

“Kita (Kerajaan Negeri) cuba cari satu keseimbangan supaya majoriti tidak dibebankan dengan perkara ini,” responsnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi kepada pemberita di sini pada 14 September 2019.

Tambah Kon Yeow, jika kenaikan kadar cukai taksiran ditangguhkan lagi, kelak akan ada pelbagai lagi cabaran berantai.

“Kita (Kerajaan Negeri) kena meneliti bahawa 15 tahun adalah suatu tempoh yang cukup lama, kalau kita tangguhkan lagi, suatu hari nanti perlu juga (dikaji semula).

“Lebih awal dibuat, lebih kurang impak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Kelmarin, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menaikkan cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah, bermula tahun depan.

Beliau menyatakan bahawa kenaikan cukai taksiran yang bakal bermula pada tahun 2020 tersebut juga turut mengambil kira peningkatan kos pengurusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketika ini, Jagdeep memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menanggung kos perbelanjaan pengurusan RM196.3 juta atau 291 peratus kenaikan berbanding 2005, sementara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), RM107 juta atau 784 peratus (berbanding 2005).

“Berdasarkan kajian penilaian semula, Senarai Nilaian Baharu 2020 dijangka dapat meningkatkan pendapatan MBPP sebanyak RM54.3 juta dan RM39.7 juta bagi MPSP,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Jagdeep, kenaikan kadar cukai taksiran yang baharu adalah bergantung kepada kategori hartanah, lokasi dan saiz hartanah terbabit.

Contohnya, sebanyak 77 peratus pemilik kondominium di bawah pentadbiran MBPP perlu membayar sehingga RM50 kenaikan kadar penilaian, dengan baki daripadanya perlu membayar lebih RM50.

“Penilaian ini adalah tertakluk kepada akta yang mana ia akan dinilai berdasarkan Nilai Tahunan hartanah terbabit. Nilai Tahunan itu pula adalah berdasarkan keluasan, lokasi, dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kenaikan ini adalah lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Kota Kinabalu,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat pada sidang media berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN