Tanglung buatan sendiri lebih 50 kanak-kanak, rai perayaan Kuih Bulan di Seri Delima

SERI DELIMA – Tanglung pelbagai bentuk haiwan, kenderaan dan bangunan yang diapungkan ke udara sempena sambutan perayaan Kuih Bulan di sini merupakan initiatif penganjuran secara bersama antara Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park dan tadika Domon Children House.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abd. Rashid ketika berucap menzahirkan rasa kagum apabila lebih 50 kanak-kanak menghasilkan tanglung mereka sendiri daripada bahan kitar semula, dengan sokongan penduduk tempatan kira-kira 200 orang.

“Tujuan pesta ini diadakan adalah untuk menggalakkan penduduk yang berbilang kaum di sini saling memahami perayaan tradisional sambutan kaum Cina.

“Melaluinya juga kita dapat memupuk semangat menyayangi alam sekitar yang tercinta,” jelasnya dalam kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara pada 14 September 2019.

SALAH seorang kanak-kanak yang menyertai pertandingan DIY Tanglung merakamkan gambar bersama-sama Syerleena Abd. Rashid (kanan) dan Ram Karpal Singh (kiri) di sini baru-baru ini.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat; serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Berucap pada majlis sama, Jagdeep berharap aktiviti komuniti sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ibu bapa serta penduduk setempat.