Daftar PADU segera, elak tercicir

Admin
9d001458 347a 4c59 bcdc 96d7f25fe5c8

AIR ITAM – Setakat 20 Februari 2024, seramai 180,084 penduduk Pulau Pinang yang merupakan warganegara berumur 18 tahun ke atas telah berdaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU). Jumlah tersebut adalah bersamaan 14.3 peratus daripada keseluruhan sasaran.

cb60557a c6fd 41be 892c 9e99df1339d2
WONG Hon Wai.

Oleh demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai menyeru seluruh warga negeri termasuk penduduk di Paya Terubong untuk segera membuat pendaftaran bagi mengemas kini maklumat lebih tepat demi memudahkan sistem penyampaian kerajaan pada masa depan.

“Saya mendapati pendaftaran PADU masih lagi ‘lesu’ dan hanya berbaki 38 hari sahaja untuk semua warga negeri mendaftar PADU, elakkan mendaftar pada hari terakhir kerana takut sistem akan bermasalah apabila semua berpusu-pusu melayari laman sesawang berkenaan.

“Oleh itu, PADU @Paya Terubong merupakan salah satu inisiatif Pusat Khidmat ADUN Paya Terubong serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam melipatgandakan usaha membuka kaunter PADU ini.

“Untuk makluman, hari ini (21 Februari 2024) merupakan hari ketiga kaunter PADU dibuka di sini dan akan sambung pada hari-hari seterusnya sehingga tempoh 3 Mac 2024 ini, lokasi kaunter PADU juga telah diberitahu bagi makluman penduduk sekitar,” ujarnya semasa sesi sidang media yang diadakan dekat Dewan Komuniti 7A Desa Intan pagi tadi.

be0ab5b8 2ad8 455d 9bc7 fdfc3bade276
KHAIROLNIZAM Hassan.

Dalam sesi yang sama, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan memaklumkan bahawa DOSM mensasarkan 1.2 juta penduduk Pulau Pinang untuk mendaftar.

“Diharapkan semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mendaftar dan mengemas kini maklumat masing-masing bagi memastikan tiada golongan yang tercicir kerana sistem ini diwujudkan untuk semua.

“Terdapat juga yang masih keliru tentang siapa yang perlu mendaftar kerana bukan sahaja ketua isi rumah, malahan setiap ahli isi rumah yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar.

“Walaupun belum lagi di tahap paksaan dan masih jauh lagi untuk mencapai matlamat disasarkan, saya berharap lebih ramai rakyat sedar dan tampil ke hadapan untuk mendaftar,” jelasnya lanjut.

b3f154fa 8309 4d8e 99b8 a6b68ab07281

4b655d0e cab4 4e8e b733 507ed62f96b8
BUTIRAN info mengenai PADU @ Paya Terubong.

Difahamkan, sebanyak 340 kaunter di beberapa lokasi telah dibuka dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPEN) Pulau Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) serta pelbagai agensi lain dan bakal melibatkan sektor perkilangan sekitar Bayan Lepas kelak.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING