Dakwaan kolam ternak udang hasil sisa buangan beracun tidak berasas – Exco

GEORGE TOWN – Dakwaan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai projek ternakan udang dalam kolam di Balik Pulau menghasilkan sisa buangan beracun hingga menjejaskan alam sekitar dan hasil tangkapan laut adalah tidak berasas.

“Ini (myGAP) adalah pengiktirafan tertinggi (dalam bidang pertanian) dalam negara, yang mana mereka akan melihat segala aspek daripada penyediaan produk sehinggalah aspek bagaimana cara merawat sisa-sisa daripada industri itu.

“Saya tidak faham bagaimana air sama yang digunakan untuk ternak udang itu boleh dianggapkan ada sisa buangan beracun sedangkan ia menghasilkan sumber makanan (iaitu) udang.

“Dakwaan yang dikemukakan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawasanya ternakan udang ini melepaskan sisa buangan beracun adalah tidak berasas,”respons Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin pada sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Afif menjelaskan mengenai isu penebangan hutan paya bakau untuk projek penternakan udang tersebut. Menurutnya, penebangan di atas sebahagian tanah Lot 802 Mukim C di Balik Pulau oleh Global Goodway mendapat kelulusan permohonan kebenaran merancang pada 9 September 2014.

Tambah beliau, syarikat tersebut turut mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), iaitu tidak kurang 200 meter zon penampan dari persisiran pantai.

Pun begitu, jelas Afif, MBPP akan bertindak ke atas projek ternak udang yang beroperasi tanpa kebenaran, di sebahagian tanah Lot 802 dan Lot 858 di sini.

“Pejabat Daerah & Tanah (Daerah) Barat Daya juga telah memaklumkan bahawa projek kolam udang di atas (tanah) Lot 802, Mukim C, Daerah Barat Daya itu merupakan tanah milik persendirian oleh tetuan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan kategori pertanian serta syarat nyata tanah adalah akuakultur,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Tegas beliau, notis pemberhentian operasi selama 30 hari akan dikeluarkan kepada pihak terbabit, serta kompaun maksimum RM5,000 sehari sekiranya mengingkari perintah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Difahamkan, langkah penguatkuasaan itu adalah berdasarkan Seksyen 27(2)(A) Akta Perancangan Bandar & Desa 1976.

CAP dan SAM pada 26 Mac lalu dilaporkan menggesa projek ternakan udang tersebut dihentikan kerana didakwa menghasilkan sisa buangan beracun ke sungai hingga menjejaskan hasil tangkapan lebih 1,000 nelayan pantai setempat.

Pegawai Luar Bandar CAP, Zulkifli Yusuf dilaporkan berkata, masalah yang berlarutan lebih 10 tahun semakin serius apabila pengusaha terbabit meluaskan kawasan ternak udang hingga memusnahkan sebahagian besar kawasan paya bakau.

if (document.currentScript) {