Segerakan pembenihan awan hadapi El Nino

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Pusat melakukan pembenihan awan di sekitar utara Semenanjung Malaysia berikutan fenomena El Nino, kerana bimbang dengan keadaan terbaru paras air di Empangan Beris dekat Kedah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu laporan berita yang disiarkan akhbar berbahasa Cina bertarikh 14 April lalu.

“(Sumber air di) Empangan Beris (dekat) Sungai Muda, saya difahamkan boleh bertahan satu bulan mulai hari ini (14 April), (sumber air empangan) di Pulau Pinang boleh bertahan dua bulan.

“Ini akan menjejaskan bukan sahaja seluruh negeri Kedah dan Perlis, tetapi tentu juga Pulau Pinang.

“Sungguhpun empangan kita boleh bertahan selama dua bulan, tetapi tanpa air dari sumber Sungai Muda, Pulau Pinang pun akan turut terjejas.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya El Nino, dan saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin meminta Kerajaan Pusat menjalankan pembenihan awan secara besar-besaran kerana sekarang kita (utara Semenanjung Malaysia) masih ada awan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pembenihan awan akan memberi manfaat kepada kira-kira 4 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, sehingga 14 April lalu, kapasiti efektif air di Empangan Beris adalah 38.3 peratus.

“Lebih 80 peratus daripada air mentah Pulau Pinang diperoleh dari sungai ini setiap hari.

“Berdasarkan kapasiti efektif semasa, air di Empangan Beris hanya mencukupi untuk tempoh 37 hari sahaja,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir Jaseni Maidinsa dalam sidang media berasingan pada 15 April lalu.

Terdahulu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut menggesa Kerajaan Pusat supaya mengambil sikap proaktif, pelaksanaan pembenihan awan tersebut membabitkan Pihak Berkuasa Negeri di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jawatankuasa Pengairan Negeri membabitkan beberapa agensi kerajaan di Rumah Pam Air Pinang Tunggal di sini baru-baru ini. P

ada perkembangan sama, Afif memberitahu, sehingga kini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membekalkan air ke 1,546 hektar daripada keseluruhan 8,500 hektar petak sawah padi di Seberang Perai Utara (SPU), sungguhpun di sini dikenali sebagai ‘daerah kritikal’ sebelum ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, bekalan air ke kawasan sawah di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) adalah mencukupi, dari sumber Sungai Kerian, Perak.

“Pun begitu, masih ada beberapa kawasan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) tidak menerima bekalan air, dan keadaan di sana bergantung pada paras air Sungai Kulim.

“Di Daerah Barat Daya pula, hampir 50 peratus kawasan sawah telahpun dibekalkan air dan tinggal tiga plot sawah masih belum dibekalkan air, kerana hanya bergantung pada sumber air hujan dan Sungai Titi Teras dekat Balik Pulau,” jelasnya.