Dalami bidang ternakan melalui pengalaman sendiri

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

MENGURUSKAN kandang ternakan.
MENGURUSKAN kandang ternakan.

SETELAH lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, anak muda berusia 30 tahun kini beralih kepada bidang ternakan.

 

Mungkin ramai yang menganggap bidang tersebut kotor dan tidak menguntungkan, namun, bagi Ahmad Sofian Mohamed atau lebih dikenali dengan nama panggilan ‘Pian’, beliau melihat potensinya adalah bagaikan lubuk emas.

 

Bermula dengan tanpa sebarang pengalaman, Pian mula berjinak dalam bidang tersebut dengan menternak tiga ekor lembu.

 

“Masa tu, lembu mati sebab saya ambik anak (lembu) kecil sangat, iaitu baru lahir antara dua hingga tiga bulan sebelum, lepas susu awal sangat.

 

“Modal masa tuh kira-kira RM300 hingga RM400 hilang begitu saje.

 

“Bagaimanapun, saya tak putus asa, sebaliknya pengalaman itu membuatkan saya lebih tahu cara nak jaga anak atau lembu baru (muda),’’ katanya kepada Buletin Mutiara pada sesi wawancara baru-baru ini.

 

AHMAD Sofian Mohamed atau Pian.
AHMAD Sofian Mohamed atau Pian.

Sesi wawancara yang diatur tanpa sebarang temujanji tersebut diadakan di perkarangan kandang lembu Pian yang terletak di Jalan Kolam, Cherok To’ Kun, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Menurut Pian, hampir lima tahun bergiat dalam bidang berkenaan, beliau kini memelihara 40 ekor lembu. Sebahagian besarnya adalah ingin dipasarkan menjelang sambutan Hari Raya kelak.

 

Selain baka kacukan dari Thailand, turut dipelihara adalah baka lembu tempatan yang mana lebih senang dijual dan dagingnya adalah lebih sedap.

 

Mengulas lanjut, Pian menyatakan bahawa cabaran dalam bidang ternakan adalah jangkitan penyakit dan kebersihan kandang haiwan ternakan yang perlu dijaga rapi.

 

Malah, pemakanan juga adalah amat penting bagi mempengaruhi kualiti daging.

 

“Lembu-lembu ternakan perlu disuntik vitamin dan ubat cacing pada setiap enam bulan.

 

“Malah, kandang juga perlu dibersihkan setiap hari,’’ jelasnya.

 

LEMBU-lembu tempatan yang diternak.
LEMBU-lembu tempatan yang diternak.

Setiap hari, Pian akan ‘bersama’ lembu ternakannya seawal 7.30 pagi. Tempoh masa kira-kira empat jam diluangkan di kandang ternakan sebelum beliau ke kedai basikal miliknya yang terletak di lokasi berhampiran.

 

Didorong minat beliau dalam bidang perniagaan, Pian mula menceburi bidang tersebut sejurus selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

“Selepas habis tingkatan lima, saya berniaga jual air bersama pakcik.

 

“Selepas itu, ketika berusia 25 tahun, berbekalkan modal sendiri, saya membuka stor membaiki basikal dan lama-kelamaan dibesarkan kepada perniagaan menjual basikal.

 

“Setelah berkecimpung dalam bidang tersebut lebih 10 tahun, saya berasa ‘boring’ dan kini beralih ke bidang ternakan yang mana memberi lebih kepuasan kepada diri saya,’’ ujar Pian yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

 

Dikurniakan dua cahaya mata, Pian kini merancang untuk menambah bilangan serta mempelbagaikan jenis ternakannya.

 

“Saya kini cuba menternak kambing yang mana saya dapati ia (kambing) adalah binatang yang cerewet sikit.

 

“Kemungkinan saya juga ingin cuba ternak kerbau sekiranya terdapat lokasi sesuai,’’ nyata beliau yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik.

 

Ketika ditanya mengapa beliau hanya memilih untuk menternak haiwan-haiwan ‘besar’, Pian menjelaskan bahawa beliau lebih sesuai dengan spesies berkenaan.

 

“Sebelum lembu, saya pernah bela ayam kampung, arnab dan burung merpati, tapi semuanya mati.

 

“Kemungkinan haiwan-haiwan kecil ni tidak sesuai dengan saya,’’ jawab beliau sambil tersenyum sinis.

 

 

INFO :

Tempahan : 012 – 483 5237