Mohon penarafan bandaraya MPPP disegerakan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow semasa Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan ke-67 (MNKT ke-67) barubaru ini memohon Kerajaan Persekutuan agar menyegerakan proses penarafan status bandaraya kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Kon Yeow berkata, bahagian pulau Pulau Pinang memenuhi kesemua syarat diwajibkan bagi membolehkan ia digelar sebagai bandaraya.

“Kita (bahagian pulau Pulau Pinang) memenuhi kesemua syarat dan kriteria sebagai sebuah bandaraya seperti populasi, pungutan hasil, kemudahan awam, institusi, budaya, sosial dan lain-lain.

“Diharap perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana ia telah mengambil tempoh yang lama sejak dipohon pada tahun 2010,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, mesyuarat MNKT yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memohon agar perkara tersebut disegerakan permohonannya dan dibawa ke kabinet untuk diluluskan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kenyataan dan perhatian Muhyiddin untuk menyegerakan permohonan berkenaan sebelum dibawa kepada Yang Di-Pertuan Agong.

“Harapan agar status bandaraya ini dapat disambut pada tanggal 1 Januari 2015 seiring dengan sambutan Hari Bandaraya George Town sejak tahun 1956.

“Malah, diharapkan penarafan ini kelak akan membantu mengatasi masalah kesesakan lalulintas dan harapan agar Kerajaan Persekutuan akan menambahkan peruntukan untuk pembangunan serta kemajuan Pulau Pinang,” ujar Kon Yeow.