Dana zakat untuk perkasa pendidikan golongan asnaf

PANTAI JEREJAK – Dana zakat yang dipungut daripada umat Islam di negeri ini turut digunakan untuk memperkasakan tahap pendidikan golongan asnaf terpilih.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man berkata, Zakat Pulau Pinang (ZPP) membelanjakan sejumlah RM2.348 juta untuk membiayai kos pengajian 101 pelajar terpilih sehingga pengajian Tahap 3 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

“Daripada jumlah 101 pelajar yang terbabit dalam program SKM Tahap 3 selama tiga tahun berkaitan, 84 graduan kini sudah ditawarkan bekerja di syarikat-syarikat multinasional (MNC).

“Ini, jelas membuktikan keberkesanan serta pasaran kerja di Pulau Pinang masih stabil.

“Malah, pada masa sama turut membuktikan usaha ZPP membantu melahirkan modal insan yang berdaya maju,” ucapnya pada Majlis Graduasi Pelajar ZPP – MAINPP, PSDC Pertama di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Samat.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh turut mengingatkan para graduan agar tidak melupakan jasa ibu bapa serta tenaga pengajar terlibat.

“Paling penting ialah para pelajar juga tidak lupa untuk membayar zakat supaya dapat membantu golongan-golongan asnaf lain,” seru beliau.