DAP Pulau Pinang serah kepada perwakilan tentukan pendirian kekal atau keluar Kabinet

Admin
img 20260814 wa0054

GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang mengambil pendekatan terbuka berhubung usul sama ada parti itu perlu kekal atau keluar daripada Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan berhubung perkara tersebut akan diserahkan kepada para perwakilan negeri pada Persidangan Kebangsaan DAP yang akan berlangsung Ahad (16 Ogos) ini.

Menurut beliau, setiap negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menghadapi persidangan berkenaan, dan bagi Pulau Pinang, Jawatankuasa Negeri DAP mengambil keputusan untuk tidak menetapkan sebarang pendirian rasmi pada peringkat negeri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada perjumpaan Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang pada Rabu (12 Ogos) lalu, selain para perwakilan dari negeri ini telah diberikan taklimat berhubung usul yang bakal diundi.

“Sebenarnya, setiap negeri ada cara untuk menghadapi Persidangan Kebangsaan DAP yang akan berlangsung pada Ahad ini.

“Bagi Pulau Pinang, jawatankuasa negeri pada perjumpaan Rabu lalu membuat keputusan untuk mengambil sikap terbuka.

“Kita tidak membuat satu pendirian rasmi pada peringkat negeri,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa para perwakilan DAP Pulau Pinang diberikan ruang untuk menilai dan membuat keputusan sendiri berhubung usul tersebut.

“Kita membiarkan para perwakilan membuat keputusan berkenaan sama ada DAP kekal atau keluar daripada kabinet tetapi terus menyokong Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Pendekatan itu, tambah beliau, mencerminkan ruang yang diberikan kepada para perwakilan untuk membuat pertimbangan berdasarkan usul yang akan dibentangkan dan diundi pada persidangan berkenaan.

Pada 10 Ogos lalu, media melaporkan bahawa Persidangan Parti DAP 2026 pada Ahad ini bakal menentukan sama ada parti itu akan kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata bahawa usul berhubung perkara itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada persidangan berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC).

Beliau berkata sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan itu akan membuat keputusan mengenai usul berkenaan menerusi undi.