Dapur Sentral iTEKAD bantu tembusi pasaran halal, lonjak ke peringkat global

Admin
screenshot Screenshot

BAYAN LEPAS – Inisiatif Dapur Sentral iTEKAD terus diperkukuh sebagai platform strategik dalam membantu usahawan makanan halal tempatan memperoleh pensijilan halal sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran.

6832ded0 73e4 4dde a1c2 1444dbf60711
KETUA Menteri semasa sesi turun padang menerusi ‘Jelajah CM Chow’ di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pusat kedua Dapur Sentral kini beroperasi di Permatang Damar Laut, Daerah Barat Daya, sebagai pelengkap kepada pusat pertama di kompleks Penang Times Square, Jalan Datuk Keramat bagi Daerah Timur Laut.

“Program yang dilaksanakan bersama pasukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) itu memberi tumpuan kepada pengusaha produk makanan halal yang memerlukan bimbingan menyeluruh untuk mendapatkan pensijilan halal.

“Namun begitu, program ini bukan sahaja membantu dari segi ilmu, malah memberi panduan lengkap mengenai proses pensijilan halal agar usahawan dapat memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, matlamat utama program ini adalah untuk memastikan usahawan berjaya memperoleh pensijilan halal yang seterusnya membuka peluang pembekalan ke pasar raya selain menembusi pasaran eksport,” katanya semasa sesi turun padang menerusi ‘Jelajah CM Chow’ di sini sebentar tadi.

72d9cb9a 9593 43d8 8374 69f5740fac64 cccb4699 8392 4cb3 afaa 38d87c78e533 25f7f227 3d1e 4cb6 80cd a734aa71b755
Hadir sama, Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli; Ketua Wilayah, Pejabat Negeri Perak & Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), Fauzan Ismail; Pengarah, Project Delivery NCER, Muhammad Fazilullah Abdul Aziz; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM), Dr. Syaharudin Shah Mohd. Noor dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa peserta program akan mengikuti latihan secara komprehensif selama antara 15 hingga 18 bulan, meliputi pelbagai aspek penting dalam pembangunan perniagaan makanan halal.

“Latihan yang disediakan merangkumi penyediaan produk mengikut piawaian halal, pengurusan kewangan, perakaunan serta strategi pemasaran dan promosi bagi memastikan peserta lebih bersedia dan berdaya saing.

“Sepanjang tempoh berkenaan, peserta masih boleh meneruskan perniagaan masing-masing, namun tanpa sijil halal, mereka tidak layak menjadi pembekal kepada pasar raya, restoran mahupun hotel,” jelasnya lagi.

0ca84201 de3f 4302 a2b7 e0316e30228d
KHALID Ramli.

Sementara itu, Khalid menyatakan bahawa pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Dapur Sentral sebagai usaha memperkasakan usahawan tempatan.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk NCER, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi memastikan setiap aspek pematuhan dapat dipenuhi.

“Di samping itu, pihak (Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang) turut menyalurkan sumbangan kewangan bersama NCER bagi menyokong perkembangan program Dapur Sentral ini agar lebih ramai usahawan tempatan dapat dibantu,” ujarnya.

51665737 e8aa 4b23 bab0 62bbec2b77ef 016d45aa fea4 47b9 9f02 6d629808cc5e 53a45099 fe85 427c 95bf e6d4279b1f31
Dalam perkembangan sama, Fauzan turut memaklumkan bahawa selain dua pusat sedia ada, perancangan sedang dibuat untuk mewujudkan sebuah lagi pusat di Seberang Perai Tengah (SPT) bagi meliputi keperluan tiga daerah utama di negeri ini.

“Program ini memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran individu serta penyediaan kemudahan lengkap kepada usahawan, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan berasaskan rumah.

“Matlamat jangka panjang adalah untuk mengukuhkan ekosistem halal Pulau Pinang serta membuka lebih banyak peluang pasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Sehubungan itu, usahawan yang berminat digalakkan untuk berdaftar dan memanfaatkan fasiliti Dapur Sentral sepenuhnya bagi memastikan mereka memperoleh manfaat optimum daripada program ini,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT