Dari kuah rojak, Aimuni kini tampil 13 produk makanan dan minuman

Admin
img 20260824 wa0077

BERMULA dengan hanya menghasilkan kuah rojak secara kecil-kecilan pada 2008, perniagaan keluarga Mekar Kekal Enterprise kini berkembang menjadi pengeluar 13 jenis produk makanan dan minuman di bawah jenama Aimuni.

Pemiliknya, HAWANI HARUN, 46, mengambil alih perniagaan keluarga tersebut pada 2017 dan sejak itu giat memperluaskan rangkaian produk menerusi inovasi serta sokongan pelbagai agensi kerajaan.

img 20260824 wa0075
Hawani Harun.

Menurut Hawani, perniagaan berkenaan diasaskan oleh ibunya, Che Sam Mat Ibrahim, 68, yang sebelum itu bekerja sebagai pemandu van kilang sebelum mengambil keputusan menceburi bidang keusahawanan dengan menghasilkan kuah rojak.

“Pada awalnya, emak menghasilkan kuah rojak secara kecil-kecilan di atas tanah keluarga.

“Kemudian ayah, Harun Isahak, 75, turut membantu mengusahakan perniagaan ini.

“Pada 2017, saya mula mengambil alih dan mengembangkan perniagaan keluarga ini secara lebih tersusun,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF ketika ditemui dalam satu wawancara khas di oremis perniagaan Aimuni dekat Bukit Mertajam baru-baru ini.

img 20260824 wa0072
Antara produk yang paling mendapat sambutan.

Hawani berkata, titik perubahan kepada perkembangan perniagaan berlaku pada 2018 selepas beliau mengikuti latihan yang dianjurkan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, sekali gus membuka peluang untuk menghasilkan produk berasaskan cili dan sos.

Daripada hanya satu produk, Mekar Kekal Enterprise kini mempunyai 13 produk merangkumi sos, cili giling, kordial dan sambal hitam.

Bagaimanapun, jus buah pala menjadi antara produk paling mendapat sambutan dan kini merupakan produk terlaris syarikat berkenaan.

Selain jus buah pala, Hawani turut memberi perhatian kepada penghasilan kordial buah pala dan sambal hitam yang dihasilkan menggunakan hampas buah pala.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja menghasilkan produk baharu, malah membantu mengurangkan pembaziran sisa daripada proses pengeluaran.

“Bagi kami, hampas buah pala tidak semestinya menjadi bahan buangan dan kami cuba memanfaatkan sisa tersebut untuk menghasilkan produk lain seperti sambal hitam.

“Ini merupakan antara inovasi yang kami lakukan supaya setiap bahan yang digunakan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

img 20260824 wa0085img 20260824 wa0084img 20260824 wa0079

Selain pengeluaran produk sendiri, Mekar Kekal Enterprise turut menyediakan perkhidmatan OEM (Original Equipment Manufacturer) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penghasilan jus dan produk berkaitan.

Perluas pasaran menerusi ejen

Dalam aspek pemasaran, Hawani memilih pendekatan menggunakan rangkaian ejen di seluruh negara berbanding bergantung kepada platform pasaran dalam talian seperti Shopee dan TikTok.

Katanya, setiap negeri mempunyai ejen yang membantu memasarkan produk Aimuni, selain jualan dilakukan menerusi kedai runcit, lot pasar dan stesen minyak.

“Kami lebih menumpukan kepada sistem ejen kerana mahu memastikan mereka mempunyai margin yang baik.

“Jika menggunakan platform dalam talian, terdapat kos komisen yang boleh menjejaskan margin ejen.

“Jadi, kami cuba mengekalkan sistem yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

img 20260824 wa0081img 20260824 wa0088

Mekar Kekal Enterprise turut aktif menyertai pelbagai ekspo, pameran dan program jelajah anjuran agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bagi memperkenalkan produk Aimuni kepada pengguna di peringkat tempatan dan nasional.

Dalam masa sama, syarikat berkenaan sedang mengorak langkah ke pasaran antarabangsa dengan merancang untuk mengeksport produknya ke Singapura, selain melihat peluang pasaran di Indonesia.

Bekalan buah pala antara cabaran

Mengulas cabaran operasi, Hawani berkata bekalan buah pala merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian kerana bahan mentah berkenaan bersifat bermusim dan tidak sentiasa mudah diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya kini mempunyai pembekal tetap yang mampu membekalkan antara 200 hingga 400 kilogram buah pala seminggu, sekali gus membantu memastikan pengeluaran dapat diteruskan dengan lebih konsisten.

Beliau turut mengakui aspek modal dan risiko sistem konsainan pernah menjadi cabaran kepada kelangsungan perniagaan.

“Apabila menggunakan sistem konsainan, kita perlu menunggu pembayaran dan ini boleh memberi kesan kepada aliran tunai.

“Sebab itu, kami beralih kepada sistem ejen serta jualan secara tunai dan pembelian berulang bagi memastikan aliran tunai lebih stabil,” katanya.

Sokongan agensi bantu perkembangan

Hawani berkata, sokongan daripada agensi kerajaan turut memainkan peranan penting dalam membantu mengembangkan perniagaan yang dibina daripada skala kecil.

img 20260824 wa0080
Antara bantuan peralatan yang diterima.

img 20260824 wa0067

Sejak 2018, Mekar Kekal Enterprise menerima bantuan dan sokongan daripada FAMA, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan RISDA, antaranya bagi kerja-kerja renovasi premis serta penyertaan dalam program jelajah dan promosi.

Menurutnya, peluang menyertai program anjuran agensi berkenaan turut membantu memperluaskan jaringan perniagaan dan memperkenalkan produk Aimuni kepada pasaran yang lebih besar.

“Kami sangat menghargai sokongan yang diberikan kerana melalui program dan jelajah seperti ini, kami dapat bertemu pelanggan baharu serta membuka peluang untuk menembusi pasaran luar.

“Bantuan daripada agensi juga memberi keyakinan kepada kami untuk terus mengembangkan perniagaan,” katanya.

Sasaran pasaran premium

Mengorak langkah seterusnya, Hawani kini memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan pensijilan halal sebagai antara persediaan untuk memperluaskan pasaran ke rangkaian pasar raya dan segmen premium.

Antara sasaran syarikat adalah untuk menempatkan produk Aimuni di pasar raya seperti Jaya Grocer, selain memperkukuh pasaran di Singapura dan Indonesia.

Pada masa sama, perkhidmatan OEM dan R&D turut akan diperkembangkan bagi membuka sumber pendapatan baharu serta memberi peluang kepada lebih banyak pihak mendapatkan khidmat pengeluaran produk berasaskan jus dan bahan tempatan.

Bagi Hawani, kejayaan perniagaan bukan sekadar bergantung kepada produk yang dihasilkan, sebaliknya memerlukan keberanian untuk melakukan inovasi, kesungguhan membina pasaran dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.

Menariknya, perjalanan Hawani dalam dunia keusahawanan bermula daripada latar belakang sebagai suri rumah dan tukang jahit.

Sebagai ibu kepada lima anak, beliau sehingga kini masih menguruskan perniagaan jahitan pada masa sama mengembangkan Mekar Kekal Enterprise.

Kisah Hawani membuktikan bahawa perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan daripada dapur dan tanah keluarga mampu berkembang menjadi perusahaan yang lebih kukuh apabila digerakkan dengan usaha, kreativiti serta keberanian untuk meneroka peluang baharu.

Daripada kuah rojak yang menjadi titik permulaan pada 2008, Mekar Kekal Enterprise kini terus melangkah ke hadapan dengan 13 produk Aimuni, sambil membawa aspirasi untuk menembusi pasaran premium dan antarabangsa.

img 20260824 wa0087img 20260824 wa0076