GEORGE TOWN – Kira-kira 350 Jalur Gemilang diedarkan kepada peniaga, komuniti setempat dan orang awam di sekitar Masjid Pintal Tali di sini sebagai simbolik menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta memupuk semangat cintakan negara.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, semangat kemerdekaan perlu terus disemarakkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi memperkukuh perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Menurut beliau, Masjid Pintal Tali merupakan antara masjid bersejarah di Pulau Pinang yang berusia kira-kira 206 tahun dan terletak di tengah-tengah bandar, sekali gus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat pelbagai kaum di kawasan berkenaan.
“Sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, marilah kita bersama-sama menghayati semangat kebangsaan dan memperkukuh perpaduan yang harmonis.
“Program seperti ini juga menjadi satu simbolik bahawa semangat kemerdekaan perlu dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat, termasuk pemandu van, penarik beca, anggota polis, orang awam serta penjaja di sekitar kawasan ini.
“Kecintaan kepada negara bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi turut dizahirkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Edaran Jalur Gemilang di Masjid Pintal Tali pada 24 Ogos 2026.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Rosidi Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Mohsein Shariff; Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, Dr. Joohari Ariffin serta barisan ahli majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Sementara itu, Pengerusi Masjid Pintal Tali, Abdullah Mohamed Shariff ketika ditemui di sini, turut menyatakan bahawa program tersebut julung kali dianjurkan di masjid warisan yang berusia kira-kira 206 tahun itu sebagai simbolik perpaduan dalam komuniti pelbagai kaum.
“Pemilihan lokasi juga mengambil kira kedudukan masjid yang dikelilingi kawasan perniagaan serta komuniti Cina dan India.
“Program ini ringkas sahaja yang mana kita mengedarkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan penjaja, komuniti sekitar serta pejalan kaki sebagai tanda bahawa kita bersama-sama menyambut kemerdekaan.
“Pada hari ini, kira-kira 300 hingga 350 bendera diedarkan dan sebahagiannya diperuntukkan untuk disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I,” jelasnya.

Pada masa sama, Abdullah turut memaklumkan bahawa pihaknya bercadang untuk menjadikan program seumpama itu lebih meriah pada masa akan datang, termasuk sempena sambutan Hari Malaysia, bergantung kepada sambutan dan kejayaan penganjuran sulung tersebut.
Tambahnya, usaha berkenaan diharap dapat menjadi satu lagi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotik selain mengeratkan hubungan antara masjid dengan masyarakat setempat.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD