PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam bukan lagi sekadar pilihan untuk mengikuti perkembangan teknologi, sebaliknya menjadi pemangkin penting bagi mempercepat urusan, meningkatkan produktiviti dan menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat.
Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membuktikan potensi tersebut apabila penggunaan AI dalam proses tertentu, termasuk semakan ulasan pelan pembangunan, berupaya memendekkan tempoh kerja yang sebelum ini mengambil masa sehingga dua hari kepada kira-kira lima minit.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, perkembangan itu mencerminkan potensi besar teknologi AI dalam mereformasi sistem penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya apabila penggunaannya disesuaikan dengan keperluan sebenar jabatan.

Menurut beliau, MBSP berbangga dengan kejayaan Kumpulan Speedy Squad 1 daripada Unit Pusat Setempat (OSC) yang dinobatkan sebagai johan pertandingan Projek Inisiatif AI-RKB sempena Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam @ Pulau Pinang 2026 pada 23 September lalu.
Konvensyen anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu membawa tema ‘AI Memacu Reformasi Perkhidmatan Awam’, sekali gus memperlihatkan komitmen untuk meneroka pendekatan baharu dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran.
“Sudah tentu kita berasa bangga dengan kejayaan ini.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah bagaimana teknologi yang kita gunakan dapat membantu mempercepatkan proses kerja dan memberikan manfaat sebenar kepada masyarakat.
“Dalam perkhidmatan kerajaan, orang ramai mahukan urusan yang cepat dan mereka tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan keputusan atau menyelesaikan sesuatu permohonan,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF ketika ditemui sempena wawancara khas dekat pejabat beliau di Menara bandaraya MBSP pada 9 Oktober lalu.
AI bukan sekadar teknologi
Baderul Amin berkata, penggunaan AI di MBSP kini semakin berkembang, termasuk dalam membantu pegawai menyediakan bahan pembentangan, menterjemah kandungan dan menyampaikan taklimat dalam pelbagai bahasa.
Menurutnya, pengalaman tersebut menunjukkan bahawa teknologi berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan masa penyediaan tugasan, malah meningkatkan keyakinan pegawai ketika menyampaikan maklumat kepada pelbagai kumpulan sasaran.
“Lebih signifikan, Jabatan Bangunan MBSP turut mula memanfaatkan ChatGPT sebagai rakan kerja bagi membantu proses semakan lukisan teknikal dan pelan pembangunan.
“Melalui pendekatan ini, proses tertentu yang sebelum ini memerlukan penelitian secara manual dan mengambil masa yang panjang dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, sekali gus membolehkan pegawai menumpukan perhatian kepada tugasan yang memerlukan pertimbangan professional,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penggunaan AI tidak bermaksud keseluruhan proses membuat keputusan boleh diserahkan kepada mesin semata-mata.
Sebaliknya, beluau berkata bahawa teknologi itu perlu berfungsi sebagai alat sokongan bagi meningkatkan keupayaan pegawai, manakala pengesahan maklumat dan keputusan yang memerlukan pertimbangan manusia kekal sebagai elemen penting dalam pentadbiran.
“AI boleh membantu kita mempercepatkan kerja, tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak menggunakannya.
“Kita juga perlu memastikan maklumat yang dihasilkan adalah tepat dan bersesuaian sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya.
Baderul Amin berkata, MBSP menyasarkan transformasi digital meliputi kira-kira 70 hingga 80 peratus proses kerja yang sesuai diautomatikkan, sementara urusan yang memerlukan penelitian, pertimbangan teknikal dan keputusan profesional akan terus melibatkan pegawai berkaitan.
Kos minimum, impak maksimum
Dalam usaha memperluas penggunaan AI, Baderul Amin berkata, MBSP tidak menjadikan kecanggihan teknologi atau kos pembangunan sistem sebagai ukuran utama kejayaan.
Sebaliknya, setiap teknologi perlu dipilih berdasarkan masalah yang ingin diselesaikan, kemampuan kewangan organisasi serta manfaat yang mampu dihasilkan kepada rakyat.
Beliau memberikan contoh penggunaan sistem pengecaman kenderaan dan nombor pendaftaran bagi memantau pergerakan lori serta menyemak rekod pembayaran di kawasan Perindustrian Perai.
Sistem berkenaan, yang dibangunkan dengan kos relatif rendah, dilaporkan membantu meningkatkan hasil kutipan daripada sekitar RM700 setahun kepada RM17,000 pada bulan pelaksanaannya, sebelum mencecah kira-kira RM500,000 pada 2024.
Peningkatan itu memperlihatkan bagaimana penggunaan teknologi yang bersesuaian dapat membantu memperkukuh pemantauan, meningkatkan pematuhan dan mengoptimumkan hasil tanpa bergantung sepenuhnya pada sistem yang mahal atau kompleks.
“Teknologi yang baik bukan semestinya teknologi yang paling canggih atau paling mahal.
“Kita perlu melihat masalah yang hendak diselesaikan dan sama ada teknologi itu benar-benar memberikan hasil.
“Prinsip kita ialah menggunakan teknologi dengan kos yang munasabah tetapi menghasilkan impak yang maksimum,” katanya.
Pendekatan tersebut juga penting bagi memastikan pelaburan dalam transformasi digital memberikan pulangan yang jelas, khususnya dalam keadaan PBT perlu mengimbangi keperluan pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Kesan masalah lebih awal
Selain mempercepatkan urusan pentadbiran, Baderul Amin menjelaskan bahawa MBSP turut meneroka penggunaan teknologi bagi mengesan masalah lebih awal, sebelum aduan diterima daripada orang awam.
Beliau berkata, antara usaha yang dikenal pasti termasuk penggunaan kamera untuk mengesan lubang jalan, sekali gus membolehkan tindakan pembaikan dirancang berdasarkan maklumat yang diperoleh.
“Pendekatan ini berpotensi mengubah kaedah penyelenggaraan konvensional yang banyak bergantung pada aduan kepada sistem pemantauan yang lebih proaktif dan berasaskan data,” ujarnya.
Dalam aspek kawal selia pembangunan pula, beliau menyatakan bahawa MBSP meneroka penggunaan imej satelit dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mengesan perubahan pembangunan yang berpotensi tidak mematuhi peraturan.
Teknologi kamera pintar juga berpotensi diperluas untuk memantau keadaan persekitaran, termasuk mengenal pasti pokok atau halangan yang memerlukan perhatian dan tindakan pihak berkuasa.
Pada masa sama, MBSP sedang meneroka kemungkinan mengintegrasikan proses pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dengan pelesenan berkaitan bagi mengurangkan pertindihan proses serta mempercepat urusan pihak berkepentingan.
Menurut Baderul Amin, penggunaan teknologi untuk mengesan sesuatu masalah lebih awal dapat membantu MBSP merancang tindakan dengan lebih sistematik.
Walau bagaimanapun, keupayaan melaksanakan tindakan susulan tetap bergantung pada ketersediaan peruntukan kewangan dan sumber manusia.
Hal ini bermakna, teknologi bukan sahaja perlu berupaya mengesan masalah, malah perlu disokong oleh mekanisme tindakan yang membolehkan masalah berkenaan diselesaikan dengan berkesan.

Cabaran perkongsian data antara agensi
Walaupun AI menawarkan pelbagai peluang, Baderul Amin berkata, antara cabaran terbesar dalam pelaksanaannya bukan semata-mata berkaitan ketiadaan teknologi, tetapi kesukaran menghubungkan sistem dan berkongsi data antara jabatan serta agensi kerajaan.
Sebagai contoh, kamera berasaskan AI mungkin dapat mengesan lori yang melanggar sekatan laluan, namun tindakan penguatkuasaan memerlukan maklumat pemilik kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain kerjasama polis dan pematuhan kepada bidang kuasa undang-undang berkaitan.
Tanpa akses kepada maklumat yang diperlukan, keupayaan teknologi untuk mengenal pasti sesuatu kesalahan tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada tindakan penguatkuasaan yang berkesan.
Situasi sama boleh berlaku dalam usaha mengenal pasti pemilik tanah, menyelaraskan rekod antara agensi dan melaksanakan penguatkuasaan secara automatik.
Justeru, beliau berpandangan bahawa integrasi sistem dan perkongsian data yang teratur perlu diberikan perhatian seiring dengan pembangunan teknologi baharu.
“Kadangkala teknologi itu sudah ada dan kita boleh mengesan sesuatu kesalahan tetapi untuk mengambil tindakan, kita memerlukan data daripada agensi lain.
“Kalau sistem tidak dapat dihubungkan dan maklumat tidak dapat dikongsi dengan berkesan, kita tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi yang tersedia,” katanya.
Keadaan itu menunjukkan bahawa reformasi perkhidmatan awam berasaskan AI memerlukan kerjasama rentas agensi, selain penambahbaikan proses kerja di peringkat organisasi.
Semua pihak nikmati manfaat
Dalam konteks permohonan pelan pembangunan, pendigitalan proses semakan dijangka memberikan manfaat langsung kepada perunding, pemaju dan rakyat melalui keputusan yang lebih pantas, konsisten serta telus.
Sebelum ini, proses pengurusan ulasan pelan melibatkan pelbagai jabatan, dengan perunding perlu menyelaras keperluan sehingga 17 jabatan dalam proses berkaitan.
Proses manual sedemikian berpotensi meningkatkan risiko kesilapan dokumentasi, pertindihan kerja dan kelewatan mendapatkan maklum balas.
Dengan bantuan teknologi, proses semakan boleh dipercepatkan, manakala perunding turut berpeluang menggunakan AI untuk menyemak pelan masing-masing sebelum dikemukakan kepada MBSP.
Langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan kesilapan yang boleh dielakkan, malah berpotensi mengurangkan keperluan mengulang proses semakan akibat ketidaklengkapan dokumen atau kesilapan teknikal.
MBSP turut menyasarkan agar keputusan permohonan pelan pembangunan dapat diberikan dalam tempoh 73 hari, sama ada permohonan diluluskan atau ditolak, dengan aspirasi untuk terus meningkatkan kecekapan proses berkenaan.
Bagi Baderul Amin, ukuran sebenar kejayaan transformasi digital bukan terletak pada jumlah sistem yang dibangunkan, tetapi sejauh mana teknologi mampu mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat urusan masyarakat.
Sehubungan itu, latihan dan pendedahan kepada pegawai turut menjadi keutamaan supaya mereka memahami fungsi, batasan dan kesesuaian sesuatu teknologi sebelum menggunakannya atau mencadangkan pembelian sistem baharu.
“Hal ini penting bagi mengelakkan penggunaan teknologi sekadar mengikut trend, tanpa matlamat yang jelas atau manfaat yang boleh diukur,” tegasnya.
Reformasi digital mesti dirasai rakyat
Mengulas hala tuju seterusnya, Baderul Amin berkata, MBSP melihat AI sebagai pemangkin reformasi perkhidmatan awam yang perlu diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurangan kos dan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif.
Menurut beliau, kejayaan transformasi berkenaan bergantung pada keupayaan organisasi mengenal pasti teknologi yang tepat, memperkukuh integrasi data serta memastikan sumber kewangan dan tenaga kerja mencukupi untuk melaksanakan tindakan susulan.
Dalam masa sama, pegawai perlu terus diberikan ruang untuk meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi agar pendigitalan benar-benar menjadi sebahagian daripada budaya kerja organisasi.
“Matlamat kita bukan sekadar menggunakan AI kerana teknologi itu sedang berkembang, tetapi kita mahu melihat bagaimana AI boleh membantu mempercepatkan kerja, mengurangkan kesilapan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Teknologi mesti menyelesaikan masalah, bukannya menambahkan kerumitan dalam proses kerja,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan Kumpulan Speedy Squad 1 dalam pertandingan Projek Inisiatif AI-RKB, Baderul Amin berkata pencapaian itu telah menjadi dorongan kepada MBSP untuk terus meneroka pendekatan inovatif dalam pentadbiran bandar raya.
Dengan menggabungkan teknologi, kepakaran pegawai dan kerjasama antara agensi, MBSP berhasrat memastikan setiap usaha pendigitalan membawa perubahan yang boleh diukur iaitu daripada proses kerja yang lebih pantas kepada pengalaman perkhidmatan awam yang lebih mudah, cekap dan mesra rakyat.
“Akhirnya, ukuran sebenar reformasi bukanlah sejauh mana canggihnya teknologi yang digunakan, tetapi sejauh mana cepat, tepat dan berkesannya perkhidmatan yang dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya menutup bicara.