Dasar ambil warga tempatan laksana kerja 3D MPSP jamin kekal – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG LALANG – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri hari ini akan mengekalkan dasar pengambilan pekerja tempatan untuk pekerjaan 3D atau Dirty, Difficult & Dangerous.

Dalam nada terharu, Guan Eng memberi jaminan itu ketika menerima memorandum daripada sekumpulan kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini.

Katanya, dasar 3D tidak akan berubah sungguhpun sebarang kemungkinan terjadi kepada diri beliau.

“Kami (Kerajaan Negeri) tidak percaya bahawa pekerja rakyat Malaysia tidak berminat dalam pekerjaan 3D.

“Apabila MPSP menawarkan 2,508 pekerjaan, ada lebih 25,000 pemohon, sekaligus menangkis pandangan negatif penghinaan jahat ini.

“(Dasar 3D ini sekaligus) membuktikan bahawa pekerja Malaysia rela kerja dalam sektor 3D, sekiranya dilayan dengan baik serta dibayar gaji yang munasabah,” katanya pada Majlis Roll Call Bersama-Sama Ketua Menteri di Pejabat Cawangan MPSP dekat Jalan Betik di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri melalui MPSP tidak kisah terpaksa berbelanja lebih asalkan warganegara mempunyai peluang untuk berkhidmat.

Ujarnya, sejumlah RM66,180,467 dibelanjakan untuk mengekalkan dasar ini, berbanding kos RM46,097.044 jika melaksanakan dasar outsource dengan melantik kontraktor.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak kisah, malah sanggup menanggung kos 43 peratus atau RM20 juta (RM20,083,423) kerana ianya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat kita dan bukan warga asing, dan seterusnya dapat menyara hidup 2,508 keluarga Malaysia,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri mampu melaksanakan pengambilan warganegara untuk kerja-kerja 3D kerana mempunyai lebihan belanjawan saban tahun.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Mohd. Puad Hamid dan Ahliahli Majlis bagi MPSP turut sertai majlis itu.

Rozali sendiri yang menyerahkan memorandum yang ditandatangani 2,508 pekerja 3D tersebut kepada Guan Eng.