‘Sakura Malaysia’ hijaukan kawasan Taman Lalulintas

GEORGE TOWN – Dalam usaha berterusan bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau, sejumlah 20 pokok Tecoma atau lebih dikenali sebagai ‘Sakura Malaysia’ ditanam di sepanjang Jalan Nirwana dan Jalan Lim Eow Thoon berdekatan Taman Lalulintas dekat sini baru-baru ini.

Malah, sejumlah RM10,000 diperuntukan oleh Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng bagi tujuan tersebut.

Menurut Yuee Harng, inisiatif berterusan perlu dilaksanakan dalam memastikan usaha Kerajaan Negeri ke arah sebuah bandar raya hijau tercapai.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada janji saya pada awal tahun ini kepada penduduk setempat bagi menghijaukan kawasan berhampiran taman ini.

“Sebagai makluman, pokok Tecoma ini memerlukan cahaya matahari yang banyak bagi membolehkannya membesar dan berbunga dengan cantik.

“Di samping itu, beberapa batang anak pokok renek pelbagai spesies berusia antara satu hingga tiga bulan di sepanjang jalan-jalan ini turut diubah tanam ke dalam kawasan Taman Lalulintas.

“Bukan sahaja mencantikkan kawasan Taman Lalulintas, malah kawasan sekitarnya juga,” ujarnya pada majlis penanaman pokok berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.

Difahamkan , pokok Tecoma dengan ketinggian 4.5 meter dan ukur lilit 75 mm (milimeter) akan mula membesar dan berbunga dalam tempoh setahun.