Dasar baru MPSP, bahan binaan wajib dibuang ke dalam tong roro

Oleh: ZULIANA AZIZ

SOON Lip Chee menunjukkan salah sebuah tong roro yang terdapat di tapak perumahan dalam pembinaan.
SOON Lip Chee menunjukkan salah sebuah tong roro yang terdapat di tapak perumahan dalam pembinaan.

SEBERANG PERAI – Bagi mencari satu kaedah penyelesaian terhadap aduan serta masalah berkaitan perletakkan bahan binaan tidak terkawal dan pembuangan sisa binaan terutamanya di kawasan perumahan, satu dasar baru telah diimplimentasikan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bermula 1 Mac 2012.

Bermula pada tarikh penguatkuasaan tersebut, setiap premis yang mengubahsuai kediaman masing-masing perlu menyediakan tong sampah jenis ‘roro’. Malah, pihak terbabit (pemilik atau kontraktor terlibat) harus mengemukakan pelan pengubahsuaian serta membuat bayaran cagaran untuk setiap pelan bangunan sebanyak RM500 (akan dikembalikan sekiranya pelan bangunan mengikut syarat-syarat pelan yang diluluskan).

Di samping itu, beberapa bayaran tambahan juga diperlukan iaitu bayaran cagaran untuk kebersihan tapak sebanyak RM250, bayaran permit sementara untuk perletakkan bahan binaan berjumlah RM250 serta bayaran permit pembuangan sisa binaan berjumlah RM100. Walau bagaimanapun, semua cagaran akan dipulangkan jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPSP.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, bermula dari tarikh pengimplimentasian dasar tersebut sehingga Januari 2012, sebanyak 259 permohonan permit telah diterima pihak MPSP bagi tujuan pengubahsuaian tempat kediaman.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 permohonan adalah daripada daerah Seberang Perai Utara (SPU), 82 daripada Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan 87 daripada Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Berdasarkan statistik yang diterima oleh MPSP, kita jangkakan masih ada pemilik yang tidak memohon permit sebelum membuat pengubahsuaian. Kami sangat menggalakkan agar sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pengubahsuaian secara haram ini dapat melaporkannya kepada pihak MPSP dengan kadar segera,” kata beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, MPSP juga menyeru agar pemilik kediaman mematuhi arahan dan dasar baru yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan masalah kebersihan sekaligus mencegah pencemaran daripada berlaku akibat daripada kecuaian pemilik kediaman yang degil dan pentingkan diri sendiri.