Kemelut banjir kilat 50 tahun terungkai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

KERJA kerja membersihkan semak-samun di kawasan pembinaan longkang kini giat dijalankan di kampung Guar Tuan Syed, Penaga di sini.
KERJA kerja membersihkan semak-samun di kawasan pembinaan longkang kini giat dijalankan di kampung Guar Tuan Syed, Penaga di sini.

PENAGA – Kemelut banjir kilat selama 50 tahun yang melanda penduduk di kawasan Guar Tuan Syed di sini akhirnya terungkai apabila projek pembinaan longkang sejauh 200 meter yang menelan belanja hampir RM50,000 dijangka siap menjelang April ini.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga, Rosidi Hussain, projek tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Alhamdulillah, keprihatinan dan kecekapan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah rakyat ternyata memberi impak positif,” ujar Rosidi kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Malah, tambah beliau lagi, saranan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam Majlis Penerangan Pembangunan yang diadakan baru-baru ini, agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), PPK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkerja dan berusaha gigih, ketara memberi perubahan bukan sahaja dalam gerak kerja, malah, kerjasama yang ditonjolkan.

“Kerjasama inilah yang membolehkan kita (perwakilan masyarakat) menyelesaikan masalah rakyat,” kata beliau yang turut berasa syukur dengan sokongan JKKK dan masyarakat setempat terhadapnya dan pimpinan negeri.