Dasar baru RMM, Pulau Pinang sudah laksanakan sejak sekian lama – Respons Ketua Menteri

GEORGETOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa sejak 10 tahun lalu lagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan Skim Perumahan Mampu Milik (RMM), melalui kerjasama dengan firma pemaju swasta serta syarikat pembekal utiliti, demi memudahkan rakyat memiliki rumah kediaman pertama mereka masing-masing.

“Dalam perbincangan dengan Putrajaya baru-baru ini, di peringkat Pusat dan kebanyakan negeri lain masih belum ada dasar yang jelas mengenai pembinaan rumah mampu milik (RMM), sedangkan di Pulau Pinang kita sudah laksanakan, sejak sekian lama.

“Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, ketika kunjungannya ke Pulau Pinang turut memuji langkah kita dan beliau turut menyatakan Pulau Pinang sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya menjawab soalan wartawan pada sidang media dekat Komtar di sini pada 23 Januari 2019.

Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya sedia bekerjasama serta menyambut baik hasrat Kerajaan Pusat menyediakan dasar baharu membabitkan pembinaan rumah mampu milik (RMM) atau Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sudah mengemukakan senarai tanah yang sesuai kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan RMM dan PPR, seperti yang diminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Dasar perumahan bagi pembinaan rumah mampu milik (RMM) di Pulau Pinang sudah lama dilaksanakan sejak 10 tahun lalu, namun dasar itu dipinda mengikut suasana pasaran semasa.

“Dasar itu juga turut membabitkan kerjasama dengan beberapa pihak, termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan pemaju perumahan lain,” jelasnya.

Memetik laporan sebuah akhbar arus perdana hari ini, dilaporkan, Kerajaan akan membantu pemaju perumahan swasta mengurangkan kos dalam pembinaan RMM menerusi rundingan secara langsung dengan Kerajaan Negeri dan syarikat pembekal utiliti.

Zuraida dilaporkan berkata, berdasarkan unjuran 2019, Kerajaan mensasarkan sebanyak 61.9 peratus pembinaan RMM dilaksanakan di bawah kementeriannya, manakala pihak swasta akan membangunkan sekitar 10.4 peratus.

Lanjutan itu, Menteri berkaitan turut menjelaskan bahawa Kementeriannya sedang meneliti cadangan memberi pinjaman mudah sebanyak 10 peratus kepada golongan isi pendapatan rakyat 40 peratus terendah (B40) bagi meningkatkan keupayaan memiliki rumah pertama.

Melalui skim Top Up Fund, difahamkan, pembeli rumah dapat memohon pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dengan kadar faedah 2 peratus dan tempoh pinjaman sehingga 15 tahun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS