Dasar Keluarga Selamat lindungi mangsa keganasan rumah tangga

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewujudkan Dasar Keluarga Selamat sebagai usaha membantu dan memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, dasar itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun kes keganasan rumah tangga dilaporkan meningkat tetapi masih ramai mangsa tidak tampil membuat laporan kerana takutkan ancaman dan tidak ada tempat berlindung.

“Oleh itu, melalui dasar ini, Kerajaan Negeri akan membangunkan satu sistem sokongan yang lebih luas dan sistematik kepada mangsa keganasan rumah tangga di negeri ini.

“Kita juga akan menyediakan lebih banyak kaunter sokongan di agensi-agensi kerajaan bagi memudahkan mangsa terlibat mendapatkan bantuan,” katanya pada sidang media dekat Komtar pada 16 Julai lalu.

Hadir sama, Presiden Sneham Malaysia, Datuk Dr. Florance Sinniah; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Presiden Women Centre for Change (WCC), Susan Siew Pui Fun serta Pengarah Eksekutif WCC, Loh Cheng Kooi.

Mengulas lanjut, Chong Eng menjelaskan bahawa pelaksanaan dasar ini hanya melibatkan kos kira-kira RM60,000 setahun bagi membangunkan kapasiti bengkel dan latihan pegawai serta penerbitan buku rujukan ‘First Support Point’.

“Kami akan membentuk ‘first support point’ di seluruh agensi kerajaan negeri, pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pertubuhan agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain lagi.

“Kami juga meminta pihak-pihak berkaitan untuk menawarkan premis mereka sebagai tempat tinggal sementara yang selamat kepada mangsa keganasan rumah tangga sehingga pihak berkuasa tampil menghulurkan bantuan.

“Oleh itu, saya juga menyeru Kerajaan Persekutuan agar menyediakan perkhidmatan yang serupa bagi membantu mangsa,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada WCC dan Sneham Malaysia atas sokongan dan komitmen yang diberikan bagi menjayakan dasar tersebut.

“Kedua-dua NGO ini amat aktif menyokong usaha melindungi mangsa keganasan rumah tangga terutamanya dalam tempoh PKP,” katanya lagi.

Difahamkan, 353 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di negara ini sepanjang tempoh PKP dan daripada jumlah itu sebanyak 33 kes dilaporkan di Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD