MAIWP, Fargoes infak 10,000 naskah buku latihan KAFA sempena PKPP

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama-sama syarikat 100 peratus milikan Bumiputera, Penerbitan Fargoes Sdn. Bhd. (Fargoes) menyerahkan sumbangan infak berbentuk 10,000 naskah buku latihan Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) bernilai RM60,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), untuk kegunaan pelajar pra-sekolah, Tahun 1 hingga 6 di rumah masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang di-Pertua MAINPP sendiri yang menerima sumbangan tersebut daripada Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Abd. Kadir dengan diiringi Pengarah Urusan (Fargoes), Ershad Ahmed.

Turut menyaksikan penyerahan itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Rosli Othman; dan Pengarah Urusan Fateh Resources Holdings Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengedar tunggal buku KAFA bagi pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Rosli Omar.

“Pagi pagi Jumaat ini, kita dapat melaksanakan satu program yang baik iaitu infak buku, suatu program yang dimuliakan serta cukup tinggi amalan ini dalam agama (Islam) kita.

“Saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan program infak buku ini (umpama) kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

“Selepas ini, (MAIWP dan Fargoes) nak bagi infak apapun, untuk kebaikan ummah, insyaAllah kami (MAINPP) mengalu-alukan,” jelasnya ketika berucap pada Program Buku Infaq Sempena Musim COVID-19 di Pejabat MAINPP, Tingkat 9, Menara JKP, Jalan Macalister di sini pada 17 Julai 2020.

ROSLI Omar.

Sebelum itu, Rosli Omar memberitahu bahawa Fargoes yang lebih 40 tahun terlibat dalam industri pencetakan buku menzahirkan penghargaan kerana diberi peluang terlibat bersama-sama MAIWP dalam menjayakan Program Buku Infaq Sempena COVID-19 di Pejabat MAINPP ini.

“Fargoes mendapat sijil cetak (buku) daripada JAKIM sendiri, tanpa sijil kebenaran daripada JAKIM, tak boleh cetak buku latihan KAFA tersebut.

“Dalam buku latihan KAFA ini, walaupun di bawah projek infak buku, memang ada elemen manarik seperti warna-warni dan banyak gambar, supaya menarik untuk anak-anak kita belajar membuat latihan dari rumah ketika COVID-19 ini.

“Program Infak Buku Sempena COVID-19 ini, kalau boleh kita nak buat bukan sahaja di Pulau Pinang yang mempunyai kira-kira lebih 30,000 murid yang menyertai KAFA, malah ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang kerana menyusun acara penuh bermakna tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI