Datuk Bandar rai rakan strategik MBSP tangani banjir 4 Nov. 2017

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP) Datuk Sr. Rozali Mohamud hari ini meraikan 20 wakil agensi Kerajaan, tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta 27 agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan, ketika Seberang Perai dilanda bencana ribut dan banjir besar pada 4 November 2017

 

“Tidak ada ucapan yang lebih menyayat hati, tidak ada ucapan yang lebih manis, tidak ada ucapan yang lebih tinggi, bahawa kami sangat menghargai rakan strategik yang datang dari Negeri Selangor dan Melaka…dan juga rakan strategik daripada sektor swasta juga.

 

“Kita (MBSP) jumpa dengan semua rakan strategik dan kita beri sijil penghargaan dan plak yang diperbuat daripada bahan ‘upcycle’,” jelasnya ketika berucap pada Program Pengiktirafan Kepada Agensi Yang Terlibat Dengan Bantuan Bencana Banjir November 2017, di Auditorium Menara Bandaraya MBSP di sini pada 7 Oktober 2019.

 

Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod dan barisan Ahli Majlis MBSP lain turut sertai majlis penghargaan tersebut.

 

Rozali memberitahu bah besar tersebut memberi pengajaran yang besar buat pentadbirannya, sehingga membawa pada penubuhan Skuad Khas untuk kerja-kerja menangani bencana, sebelum dinaiktaraf menjadi Jabatan Pengurusan Krisis.

 

Berdasarkan rekod Jabatan Pengurusan Krisis MBSP, beliau memberitahu, kerja-kerja pemulihan dan pembersihan pasca bencana 4 November 2017 mencapai 95 peratus pada hari kesembilan dan kesemua pusat transit berjaya ditutup.

 

Tambah beliau, pada 26 November 2017, iaitu selepas 16 hari, kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan 100 peratus, dengan 15,942 tan sisa banjir berjaya dibersihkan.

 

Direkodkan, bencana ribut kuat, hujan luar biasa dan banjir besar yang melanda Seberang Perai pada ketika itu telah mengakibatkan 3,256 rumah terjejas, 162 kenderaan ditenggelami air, 9,639 penduduk dipindahkan, 1,194 pokok tumbang dialihkan, serta RM11.3 juta nilai kerugian.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS