Program Penang sihat pertama di Pulau Pinang, bantu masyarakat amal gaya hidup sihat.

Admin

SEBERANG JAYA – Program Penang Sihat yang julung kalinya diadakan dilihat membantu serta memberi pendedahan kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika berucap pada program itu menyatakan adalah penting untuk masyarakat Pulau Pinang menjadi lebih peka dan prihatin dalam aspek penjagaan kesihatan.

“Sehingga tahun 2016, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 41,600 kes aktif (diabetes) dan seramai 587 warga negeri khususnya menghidapi penyakit diabetes yang juga dikenali sebagai ‘silent killer disease’.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang tidak tahu bagaimana untuk mengenalpasti tanda-tanda awal akan masalah diabetes yang mana akhirnya membawa kesulitan kepada mereka untuk mendapatkan rawatan secara proaktif dan efektif.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah dan sedang mengambil langkah-langkah proaktif dan berkesan dengan merangka strategi advokasi, latihan dan program-program kesedaran khusus untuk warga negeri dalam aspek penjagaan kesihatan mereka,” ucapnya semasa majlis pelancaran program berkaitan di Taman Permainan Jalan Tuna, Seberang Jaya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Shuhada Abdul Rahim; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Marina Kamaruddin; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Zubaidah Che’Embee.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr. Ong Ai Leng; Wakil Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Mohamed Iqbal Hamzah; Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dr. Noraishah Jaafar; Pengasas BookDoc, Dato’ Chevy Beh; Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Premier Pathology, Mohd. Hareef Muhammed dan Pensyarah Perubatan & Pakar Sakit Puan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Salina Sany.

Mengulas lanjut, Afif memaklumkan bahawa kerjasama daripada semua pihak khususnya agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah dengan sokongan 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dalam menjayakan program berkaitan amatlah bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri.

“Program Penang Sihat ini mempunyai pelbagai input yang bermanfaat seperti memberikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan fizikal seperti diabetes, hipertensi dan mengesan awal risiko penyakit tidak berjangkit masalah obesiti serta penjagaan kesihatan gigi yang dapat membudayakan gaya hidup yang sihat.

“Ini juga merupakan tanggungjawab saya bersama-sama Kerajaan Negeri untuk memastikan warga negeri mengamalkan gaya hidup yang sihat selaras dengan visi Penang2030 iaitu ke arah meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan dan kesihatan penduduk negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa komited dalam mewujudkan masyarakat Pulau Pinang yang bukan sahaja mempunyai kualiti kesihatan yang baik malah dapat mengakses kemudahan rawatan berteknologi tinggi yang mampu memberi manfaat kepada semua di negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Seberang Jaya.

Sementara itu, Zakiyuddin dalam ucapannya turut merakamkan usaha yang ditonjolkan oleh Afif bersama-sama agensi yang terlibat dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Usahasama yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program ini wajar diberi pujian kerana sesuatu dasar atau program yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri tidak akan dapat dijalankan tanpa sokongan pihak-pihak berkaitan.

“(Dan) kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ADUN Pulau Pinang membuktikan bahawa komitmen wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mewujudkan masyarakat yang hidup sejahtera dengan kesihatan yang baik,” ujarnya semasa merasmikan program tersebut.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: CHAN KOK KUAN