Daya saing Malaysia jatuh 5 tangga, paling teruk dalam 9 tahun, respons KM

Admin

GEORGE TOWN – Daripada 61 negara yang disenarai dalam Malaysia Competitiveness Yearbook 2016, daya saingan Malaysia pada tahun ini berada pada kedudukan ke-19, iaitu jatuh lima anak tangga berbanding ke-14 pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kedudukan tersebut menunjukkan negara kini berada pada keadaan yang paling teruk dalam tempoh sembilan tahun ini.

“Tahun 2008, kita (Malaysia) telah naik, tetapi sekarang telah turun…iaitu, keadaan yang paling teruk dalam sembilan tahun ini.

“Ini, kita boleh lihat ekonomi teruk, macam mana rakyat susah, ada buat bisnes (tetapi) bisnes turun, yang makan gaji (tetapi) gaji tak cukup belanja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng bagaimanapun berkata, Pulau Pinang masih menunjukkan daya saing berbanding Kerajaan Pusat dan beberapa negeri lain.

“Kita (Pulau Pinang) berharap bahawa anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dapat menghargai inisiatif dan juga hasrat baik Kerajaan Negeri dengan mengumumkan ‘Bonus Raya’ 0.75 bulan, suatu peningkatan berbanding 0.5 bulan pada tahun lepas (2015),” katanya ketika ditanya sama ada Kerajaan Pulau Pinang turut bimbang atau sebaliknya mengenai kedudukan daya saing terbaru negara.

Difahamkan, laporan Malaysia Competitiveness Yearbook 2016 mula menggamit perhatian banyak pihak apabila didedahkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, sebelum dilaporkan sekali lagi dalam tabloid The Edge Malaysia baru-baru ini.

Memetik laporan berita tersebut, kejatuhan harga minyak dunia, penyusutan nilai Ringgit Malaysia (RM) serta skandal kewangan negara membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan tiga faktor utama yang menyumbang pada daya saing Malaysia jatuh ke kedudukan ke-19 pada tahun ini.