Projek Kompleks Mahkamah Syariah, tiada lagi penangguhan setelah dua kali lewat, tegas KM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak berpuas hati dengan kelewatan kerja-kerja pembangunan Projek Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang yang terletak di Jalan Batu Gantung/Jalan Scotland, Daerah Timur Laut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, antara kelewatan berkenaan adalah disebabkan masalah kewangan dan pengurusan daripada pihak kontraktor.

Jelasnya, mengikut perancangan asal, projek dibangunkan pihak kontraktor dilantik pada Januari 2012 sepatutnya siap pada 1 Oktober 2014.

“Walau bagaimanapun, saya difahamkan oleh pihak JKR, projek ini mengalami kelewatan di pihak kontraktor dan tidak berjalan seperti yang dijadualkan.

“Kerajaan Negeri tidak berpuas hati, saya sendiri tidak berpuas hati setelah banyak kali datang melawat tapak ini, malah TYT (Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas) juga pernah melahirkan rasa kecewa dan ini sungguh mendukacitakan,” katanya sejurus Taklimat Lawatan Kerja ke tapak tersebut baru-baru ini.

Turut sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang.

Guan Eng memberitahu, projek berkaitan diluluskan khas oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2012.

“Projek ini amat bernilai tinggi, di kawasan yang bernilai tinggi, malah projek ini melambangkan kewibawaan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan berprestij bagi masyarakat setempat berurusan (dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri).

“Ia merupakan projek usahasama murni antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, iaitu Kerajaan Negeri menyediakan tapak (tanah), manakala Kerajaan Persekutuan pula menanggung kos projek berkaitan.

“Namun, atas sebab-sebab tertentu, seperti yang dimaklumkan oleh JKR, projek ini telah lewat 21 bulan dari yang dijadualkan,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, kelewatan projek berkenaan dikhuatiri memberi implikasi negatif terhadap Kerajaan Negeri sungguhpun kelewatan bukan berpunca daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Sememangnya kita bersimpati dengan badan kehakiman syariah di sini, tapi Kerajaan Negeri terpaksa berdepan dengan rakyat dan menjelaskannya.

“Saya harap, tiada lagi penangguhan selepas ini memandangkan sebelum ini sudah dua kali mengalami kelewatan, ini adalah mutakhir, projek ini akan siap menjelang 30 Jun 2016 nanti seperti yang dijanjikan.

“Saya sudah tidak mahu lagi janji demi janji diberikan tetapi tidak ditunaikan,” tegasnya.

Kos asal kontrak Projek Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang adalah RM32,939,598, bagaimanapun, sehingga ke hari ini, kos semasa adalah berjumlah RM29,318,066.

Projek berkaitan telah diberi Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) sebanyak dua kali iaitu pada 1 Januari 2015 dan 28 April 2015.

Namun, sehingga 29 April 2016, projek tersebut masih belum disempurnakan dan pihak kontraktor telah dikenakan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (LAD) sebanyak RM2,168,603.

Apabila siap kelak, kompleks tersebut mempunyai tujuh aras yang terdiri daripada dewan bicara mahkamah, kamar-kamar hakim, bilik chamber, balai polis, nurseri, surau, ruang lobi, kafeteria, bilik tahanan, dewan serbaguna dan perpustakaan.

Pada masa sama, ia turut dilengkapi dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).